Kuching, 26 Jul 22 – Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato’ Hj Shamsudin bin Kassim TUDM telah mempengerusikan Mesyuarat Pemerintahan Panglima Wilayah Udara 2 (PANGWILUD 2) Siri 1/2022 yang diadakan di Hotel Raia and Convention Centre, Kuching Sarawak mulai 26 hingga 28 Jul 22.
Mesyuarat ini merupakan platform untuk PANGWILUD 2 bagi menyampaikan arahan serta hasrat terkini pucuk pimpinan TUDM kepada semua peringkat pemerintah di bawah naungan Wilayah Udara 2. Mesyuarat yang diadakan ini juga membentangkan kesiagaan operasi, prestasi dan membincangkan cabaran yang dihadapi oleh pangkalan dan unit di Wilayah Udara 2 serta pelan tindakan yang perlu dilaksanakan sebagai langkah untuk mengatasi kelemahan yang telah dikenalpasti.
Sebanyak tujuh (7) taklimat telah dibentangkan semasa mesyuarat berlangsung, antaranya ialah topik-topik yang dipersembahkan merangkumi tajuk yang dikupas daripada Perintah Ulung PTU Ke-20, Perkembangan dan Status Semasa Maritime Surveillance Aircraft (MSA), Taklimat Perisikan, Perbincangan berkaitan Penggunaan Sumber Kewangan di PTJ dan Taklimat daripada Seminar Pegawai Waren TUDM Wilayah Udara 2.
Di akhir sesi mesyuarat, PANGWILUD 2 telah menyampaikan ucapan penggulungan dengan menyeru seluruh warga Wilayah Udara 2 supaya mengambil manfaat daripada persembahan dan taklimat yang telah disampaikan serta memberikan perhatian sepenuhnya terhadap cabaran-cabaran yang sedang dan bakal dihadapi. Seterusnya beliau berkehendakkan agar setiap pangkalan mahupun skuadron yang terlibat mengambil tindakan yang sewajarnya dalam mengatasi cabaran-cabaran tersebut bagi memastikan kedaulatan Wilayah Udara 2 dan negara terus dijaga dengan sebaiknya.