Batu Ferringhi, 28 Nov 23 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah mempengerusikan Mesyuarat Pemerintahan Panglima Tentera Udara Siri 2/23 yang bermula pada 26 hingga 28 Nov 23. Turut hadir ke mesyuarat ini ialah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Seri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara; Lt Jen Dato’ Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Masro bin Kaliwon TUDM dan Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM.
Mesyuarat yang dihadiri seramai 44 pegawai kanan TUDM dan ATM termasuk Asisten Ketua Staf, Komander Pangkalan, Komandan ini bermula dengan perasmian dan pembukaan mesyuarat oleh Panglima Tentera Udara. Beliau menzahirkan ucapan terima kasih atas komitmen semua pegawai kanan bagi merealisasikan mesyuarat ini. Dalam ucapan perasmian, beliau menjelaskan objektif utama mesyuarat pemerintahan kali ini adalah bagi meneliti serta menjajarkan semula strategi, mengenalpasti kekuatan dan memastikan kesiagaan TUDM dalam menangani cabaran-cabaran yang dihadapi. Perubahan landskap geopolitik yang sentiasa berubah menuntut TUDM untuk turut bertindak menjalankan peranan dengan sewajarnya dalam menghadapi cabaran tersebut. Beliau berharap topik - topik yang akan dibentangkan dapat menghasilkan suatu resolusi ke arah memperkasakan TUDM sebagai kuasa udara yang unggul serta dapat mendukung aspirasi negara bagi menjaga kedaulatan ruang udara agar terus aman dan selamat.
Selesai perasmian mesyuarat, taklimat berkaitan “Outcome Based Budgeting and Air Force Budget 2024” telah disampaikan oleh Encik Zulkhairil Amar bin Mohamad, Budget Review Officer (BRO), Kementerian Kewangan yang menerangkan konsep pelaksanaan dan hubungkait peruntukan kewangan berdasarkan perancangan strategik. Dalam mesyuarat pemerintahan ini, enam taklimat telah disampaikan dengan pengisian taklimat daripada Inspektorat TUDM, MTU-JKO, MPOU-A7, MTU - Bahagian Operasi dan Strategi. Taklimat pada hari kedua pula merangkumi penilaian pembabitan aset udara dalam operasi, eksesais dan latihan; kesiagaan operasi serta status implementasi Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM atau RMAF CAP 55 Fasa 1 dan perancangan hadapan.
Selain daripada itu, turut dibentangkan ialah Kupasan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-22 daripada Ketua Tim dan Ahli Teras yang dilantik. Maklum balas tindakan TUDM terhadap Perintah Ulung PAT ke-22 yang telah dibentangkan akan diangkat ke peringkat Markas ATM.
Turut dilaksanakan Sesi Dialog ahli-ahli mesyuarat bersama Panglima Tentera Udara. Antara perkara penting yang dibincangkan adalah pemantapan disiplin warga TUDM seperti pengekangan salah guna kuasa, isu buli di kalangan warga TUDM serta kualiti kepimpinan. Panglima Tentera Udara berkehendakkan Komander Pangkalan, Komandan dan Pegawai Memerintah agar mencari mekanisme terbaik dalam menangani isu-isu yang boleh mencalar imej dan nama baik TUDM.
Mesyuarat Pemerintahan Panglima Tentera Udara Siri 2/23 yang telah dilaksanakan selama 3 hari bermula 26 Nov 23 telah melabuhkan tirainya pada hari ini dengan diakhiri dengan ucapan penggulungan dan penutup oleh Panglima Tentera Udara. Ucapan penggulungan yang disampaikan oleh PTU bersandarkan resolusi kepada taklimat-taklimat yang telah disampaikan dan juga sesi dialog ahli-ahli mesyuarat bersama pucuk pimpinan tertinggi TUDM. Panglima Tentera Udara menzahirkan rasa kesyukuran atas kelancaran perjalanan mesyuarat dan telah berjaya mencapai objektifnya. Menurut beliau, bagi merealisasikan hasrat ke arah sebuah organisasi yang cemerlang dan unggul, memerlukan gandingan barisan kepimpinan dan seluruh warga udara yang mempunyai nilai-nilai integriti yang tinggi. Pucuk pimpinan tertinggi TUDM memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan isu-isu salah guna kuasa dan tindakan yang menyalahi etika-etika ketenteraan. Beliau juga mahukan agar segala pengarahan yang diputuskan bersama oleh pucuk pimpinan hendaklah dipatuhi serta dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab dan penuh komitmen mengikut saluran pemerintahan sedia ada.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pegawai kanan TUDM yang telah menyampaikan taklimat sepanjang mesyuarat berlangsung. Beliau berharap seluruh peringkat pemerintahan mengambil manfaat daripada perbincangan dan penerangan yang telah diberikan. Panglima Tentera Udara berkehendakkan agar semua Komander Pangkalan, Komandan dan Pegawai Memerintah mengambil tindakan dan menyampaikan kepada semua peringkat anggota bagi memastikan ianya dipatuhi dan diamalkan oleh semua peringkat warga udara. Segala teguran dan peringatan yang disampaikan oleh beliau serta pucuk pimpinan hendaklah dijadikan panduan oleh semua Komander Pangkalan, Komandan dan Pegawai Memerintah.