SHAH ALAM, 1 Mac 24 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah mempengerusikan Mesyuarat Pemerintahan Panglima Tentera Udara Siri 1/2024 yang diadakan pada 28 Februari hingga 1 Mac 2024 di Mes Wira Angkasa (MWA) Pangkalan Udara Subang.
Mesyuarat peringkat tertinggi TUDM yang dipengerusikan oleh Panglima Tentera Udara ini telah dihadiri oleh Timbalan Panglima Tentera Udara, Panglima-panglima Markas Formasi, AKS-AKS Bahagian, Ketua Staf, Pengarah-pengarah, Komander Pangkalan, Komandan dan Pegawai-pegawai Memerintah. Ianya menjadi satu platform kepada Panglima Tentera Udara bagi menyampaikan amanat, arahan dan dasar-dasar baharu perkhidmatan kepada semua peringkat Komander,Komandan dan Pegawai Memerintah.
Pada hari terakhir mesyuarat kali ini turut diadakan Sesi Dialog Panglima Tentera Udara bersama ahli mesyuarat. Dalam sesi ini, ahli-ahli mesyuarat dari pelbagai peringkat strategi dan operasi berpeluang membincangkan hal-hal semasa TUDM serta berkongsi ilmu serta buah fikiran dalam usaha memacu hala tuju dalam mencapai resolusi yang terbaik untuk TUDM khususnya dan ATM amnya.
Panglima Tentera Udara di dalam ucapan penggulungannya menyatakan bahawa keterbukaan dalam berkongsi pendapat dan pandangan dalam isu-isu yang dibincangkan semasa mesyuarat ini telah membuahkan hasil yang mengekalkan hala tuju, momentum dan nilai-nilai organisasi ke satu tahap yang lebih baik. Beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan semangat profesionalisme yang telah dipamerkan oleh semua ahli-ahli mesyuarat sepanjang sesi mesyuarat dan perbincangan berlangsung.
Beliau menekankan agar semua lapisan pemerintahan mengambil tindakan sewajarnya dan segala resolusi perbincangan dapat diadaptasikan ke dalam organisasi bagi meningkatkan tahap kesiagaan operasi mahupun latihan. Beliau juga berharap segala informasi dari mesyuarat ini dapat disampaikan kepada seluruh warga udara bagi mewujudkan kefahaman yang lebih jelas dalam memacu tugas harian. Di akhir ucapan, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan khususnya kepada MTU-BOS dan Sekretariat TUDM selaku Jawatankuasa Penganjur Mesyuarat Pemerintahan Panglima Tentera Udara Siri 1/2024 serta semua pihak yang terlibat menjayakan mesyuarat ini.
#TenteraUdaraDirajaMalaysia
#SentiasaDiAngkasaRaya
#MesyuaratPemerintahanPTU
#WargaUdara