SHAH ALAM, 14 Apr 22 – Panglima Tentera Udara (PTU), Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah mempengerusikan Mesyuarat Pemerintahan Panglima Tentera Udara Siri 1/2022 pada hari kedua mesyuarat yang diadakan Mes Wira Angkasa (MWA). Mesyuarat Pemerintahan PTU siri pertama ini telah berlangsung selama dua hari bermula 13 Apr 22 dan berakhir hari ini.
Pada hari terakhir mesyuarat kali ini, telah diadakan Perbincangan Maklum Balas Mesyuarat yang lepas selain turut diadakan Sesi Dialog Panglima Tentera Udara bersama ahi mesyuarat. Mesyuarat ini merupakan platform penting bagi menyumbang buah fikiran, bertukar pandangan dan mencapai kesepakatan bersama. Kehadiran ahi-ahli mesyuarat dari pelbagai peringkat strategi dalam membincangkan hal-hal semasa TUDM serta berkongsi ilmu bagi memacu hala tuju dalam mencapai resolusi yang terbaik untuk TUDM khususnya dan ATM amnya.
Di dalam ucapan penggulungan, PTU menyatakan seluruh peringkat pemerintahan di dalam TUDM mendapat manfaat daripada pembentangan kupasan dan pelan tindakan Perintah Ulung Panglima Tentera Udara , taklimat bagi status semasa pengurusan peruntukan kewangan TUDM serta taklimat berkaitan isu-isu semasa yang telah disampaikan. Beliau berharap, semua mengambil maklum tentang cabaran-cabaran yang dihadapi dan seterusnya melaksanakan resolusi-resolusi yang telah ditetapkan dalam mesyuarat kali ini.
Disamping itu, beliau berharap agar organisasi TUDM sentiasa bergerak di atas landasan yang sama iaitu ‘everyone must be in the same frame of thoughts’. Setiap lapisan warga udara perlu peka terhadap segala perancangan serta inisiatif-inisiatif TUDM dan kesemua barisan kepimpinan hendaklah memacu hala tuju dengan lebih berkesan bagi mencapai kesemua objektif yang telah ditetapkan.
Di akhir mesyuarat, Panglima Tentera Udara menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah bersama-sama beliau menjayakan mesyuarat pada kali ini di samping menyeru semua ahli mesyuarat untuk menghayati tugas dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Beliau mahukan agar segala percambahan idea dan perbincangan dalam mesyuarat kali ini dapat dimanfaatkan dan disampaikan ke semua peringkat pegawai dan anggota bawahan agar dapat mewujudkan kefahaman yang lebih jelas dalam memacu tugas harian seterusnya mencapai objektif yang telah disasarkan.