MESYUARAT PEMERINTAHAN PANGLIMA TENTERA UDARA SIRI 1/2022 FOKUSKAN KUPASAN DAN PELAN TINDAKAN PERINTAH ULUNG PANGLIMA TENTERA UDARA

1 2 3
4 5 6

 

SHAH ALAM, 13 Apr 22 – Panglima Tentera Udara (PTU), Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah merasmikan dan mempengerusikan Mesyuarat Pemerintahan Panglima Tentera Udara Siri 1/2022 yang diadakan Mes Wira Angkasa (MWA). Mesyuarat Pemerintahan buat pertama kali setelah beliau memegang jawatan Panglima Tentera Udara anjuran Sekretariat Markas Tentera Udara turut sama dihadiri Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Indera Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM serta 105 pegawai kanan TUDM yang terdiri daripada Panglima-Panglima Pemerintahan, Asisten Ketua Staf, Komander Pangkalan, Komandan, Pegawai Memerintah Skn serta pegawai kanan TUDM dari seluruh Malaysia.

Di dalam ucapan pembukaan mesyuarat, Panglima Tentera Udara mengingatkan semua yang hadir bahawa negara sekarang berada di fasa peralihan ke endemik Covid-19. Beliau mahukan semua warga TUDM sentiasa peka terhadap situasi semasa termasuk isu pergolakan geopolitik dunia agar TUDM sentiasa bersedia dalam mendepani sebarang kesan daripada konflik yang sedang berlaku. Walaupun terdapat cabaran dan kekangan di dalam fasa peralihan ke endemik Covid-19 dan isu semasa dunia, semua warga TUDM mampu meneruskan misi dan tugas yang diamanahkan dengan sebaiknya selaras dengan hala tuju TUDM.

Di dalam ucapannya juga, PTU merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang hadir. Mesyuarat pemerintahan kali pertama ini akan menjadi paksi bagi mesyuarat pemerintahan di peringkat markas-markas dan Komander Pangkalan selepas ini. Kehadiran ahli mesyuarat yang merangkumi setiap peringkat strategik, operasi dan juga taktikal akan pasti menjadi pemangkin untuk percambahan idea holistik bagi menghasilkan impak terbaik untuk TUDM.

7 8 9
10 11 12

 

Pada mesyuarat kali ini, beberapa perkara telah dibentangkan oleh pihak yang dilantik susulan daripada Perintah Ulung yang digariskan oleh Panglima Tentera Udara pada 23 Mac lalu. Pembentangan berkenaan dengan Kupasan dan Pelan Tindakan Perintah Ulung telah disampaikan oleh komposisi kumpulan yang telah dilantik dari pelbagai latar belakang dan markas formasi merangkumi 6 Tonggak keseluruhannya.

Kupasan dan Pelan Tindakan bagi keenam-enam tonggak telah disampaikan oleh wakil kumpulan yang telah dilantik iaitu:

1.Tonggak pertama: Pemantapan Keupayaan dan Kesiagaan TUDM telah disampaikan oleh Kol Khairul Muzambi bin Salehin TUDM.

2. Tonggak Kedua : Keunggulan Struktur dan Kecemerlangan Organisasi telah dibentangkan oleh Kol Nazarudin bin Haron TUDM.

3.Tonggak Ketiga : Pemerkasaan dan Pengupayaan Warga Udara telah dibentangkan oleh Kol Azman bin Taib TUDM.

4.Tonggak Keempat : Mengoptimumkan Pengurusan Sumber Manusia dan Meningkatkan Budaya Inovasi telah disampaikan oleh Kol Nornizam bin Kamarudin TUDM.

5.Tonggak Kelima :Peningkatan Keupayaan TUDM Melalui Kolaborasi Bersama Industri Tempatan oleh Kol Samsuri bin Abu Bakar TUDM.

6.Tonggak Keenam : Kebajikan Sosial dan Kelestarian Warga dibentangkan oleh Kol Junairi bin Baharom TUDM.

13 14 15

 

Pembentangan terhadap kupasan dan pelan tindakan Perintah Ulung PTU berlangsung dengan perbincangan dan perkongsian yang membina bagi merealisasikan hasrat yang dizahirkan di dalam Perintah Ulung PTU. PTU turut mengharapkan kepercayaan diberikan kepada beliau dan pengurusan tertinggi oleh semua warga TUDM pelbagai peringkat untuk bersama-sama memperkasan dan memartabatkan TUDM.

Mesyuarat Pemerintahan PTU Siri 1/2022 direncanakan bagi mencapai objektif yang dihasratkan di dalam memperkasakan inisiatif secara berkesan untuk kemajuan organisasi dan memacu TUDM ke landasan yang tepat, serta mencapai visi dan misi yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan tertinggi TUDM.