Pulau Pinang, 20 Mei 22 - Panglima Bantuan Udara, Brig Jen Masro bin Kaliwon TUDM telah menyempurnakan penutup Mesyuarat Pemerintahan Panglima Bantuan Udara Siri 1/2022 bertempat di Bayview Hotel Georgetown, Pulau Pinang.
Mesyuarat pemerintahan ini diadakan bertujuan untuk membincangkan pelbagai isu yang berkaitan dengan pengurusan operasi logistik dan kejuruteraan serta menyampaikan maklumat atau perintah terkini secara terus kepada unit-unit di bawah naungan Markas Pemerintahan Bantuan Udara (MPBU). Di mesyuarat ini sebanyak enam kertas kerja telah dibentangkan dan dibincangkan pada tahun ini.
Panglima Bantuan Udara berharap agar pelaksanaan mesyuarat pemerintahan ini akan menjadi forum yang terbaik untuk berinteraksi bersama-sama dalam permuafakatan dan persefahaman di setiap peringkat bagi merangka pelan-pelan tindakan, menilai dan meletakkan hala tuju dan keazaman yang baharu, sekaligus menjana idea baru dan menetapkan hala tuju MPBU dalam mendepani cabaran domestik dan globalisasi.
Beliau juga berharap agar resolusi-resolusi yang bakal dihasilkan nanti akan diangkat sebagai tindakan atau cadangan kepada penambahbaikan pengurusan MPBU di masa hadapan agar ia dapat berfungsi dengan efektif sebagai dukungan logistik kepada keperluan pengoperasian TUDM. Selain itu, Panglima Bantuan Udara juga turut menekankan pembudayaan integriti dan juga pengamalan nilai murni dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan.
Turut hadir dalam mesyuarat ini adalah Ketua Staf Khidmat MPBU, Brig Jen Mohamad Fakhri bin Yahya TUDM; Ketua Staf Sistem MPBU, Brig Jen Muhd Aznor bin Hj Md Ghazali TUDM; Pegawai Memerintah Depoh Materiel Utama, Kol Mohamed Ali Abbas TUDM; dan Pegawai-pegawai Kanan di bawah naungan MPBU.