SUBANG, 10 Mei 23 - Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Masro bin Kaliwon TUDM hari ini telah menyempurnakan Majlis Penutup Mesyuarat Pemerintahan Panglima Bantuan Udara Siri 1/2023 yang bermula pada 9 Mei 23 bertempat di Mes Wira Angkasa, Pangkalan Udara Subang. Turut hadir dalam mesyuarat ini adalah Ketua Staf MPBU, Brig Jen Muhd Aznor bin Hj Md Ghazali TUDM; Ketua Staf Khidmat MPBU, Brig Jen Sharani bin Kamaruddin TUDM; Pemangku Pegawai Memerintah Depoh Materiel Utama, Lt Kol Hj Safrul bin Ahmad Kamal TUDM dan Pegawai-pegawai Kanan di bawah naungan MPBU.
Mesyuarat ini menjadi platform bagi membincangkan pelbagai isu yang berkaitan dengan pengurusan operasi logistik dan kejuruteraan serta menyampaikan maklumat atau perintah terkini secara terus kepada unit-unit di bawah naungan Markas Pemerintahan Bantuan Udara (MPBU). Sebanyak enam kertas kerja dan satu taklimat telah dibentangkan dan dibincangkan pada mesyuarat kali ini.
Panglima Bantuan Udara berharap agar pelaksanaan mesyuarat pemerintahan ini akan menjadi forum yang terbaik untuk berinteraksi bersama-sama dalam mencapai pemuafakatan dan persefahaman di setiap peringkat bagi merangka pelan-pelan tindakan, menilai dan meletakkan hala tuju dan keazaman yang baharu, sekaligus menjana idea baru dan menetapkan hala tuju MPBU dalam mendepani cabaran domestik dan globalisasi.
Di samping itu, resolusi-resolusi yang diketengahkan semasa mesyuarat akan diangkat sebagai tindakan dan cadangan penambahbaikan bagi pengurusan dan pentadbiran MPBU. Panglima Bantuan Udara juga berharap agar resolusi-resolusi yang telah diketengahkan dalam mesyuarat ini dapat berfungsi dengan efektif serta dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan "outcome" dapat dihasilkan sebagai dukungan logistik kepada keperluan pengoperasian TUDM.
Panglima Bantuan Udara mengingatkan kepada unit-unit di bawah naungan MPBU pula, perlulah sentiasa cekap/efisien serta peka dengan pengarahan-pengarahan selanjutnya dari semasa ke semasa bagi memastikan dukungan logistik yang berkesan dapat diberikan kepada semua unit pelanggan yang terlibat. Ini adalah kerana MPBU memerlukan sokongan unit-unit di bawah naungan untuk mencapai misi dan visi MPBU serta merealisasikan moto MPBU iaitu “Supaya Mereka Terbang”.