MESYUARAT AIR WORKING GROUP (AWG) MALAYSIA-THAILAND KE-106

2 3 4
5 6 7
9 10 11

 

AYUTTAYA, 14 Februari 2025 – Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato' Mahadzer bin Amin TUDM, bersama Air Marshal Seksun Chaiyamart (RTAF), Timbalan Komander, Komando Kawalan Operasi Udara, telah mempengerusikan secara bersama Mesyuarat Air Working Group Malaysia-Thailand (AWG MALTHAI) Ke-106 yang berlangsung dari 10 hingga 14 Februari 2025 di Phra Nakon Si, Ayutthaya, Thailand.

Mesyuarat AWG berfungsi sebagai platform rasmi bagi kedua-dua pihak untuk membincang dan merancang aktiviti dua hala yang merangkumi bidang operasi, bantuan serta latihan antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF).

Ketibaan delegasi TUDM disambut oleh Atase Pertahanan Malaysia di Bangkok, Brigedier Jeneral Samsul Rizal bin Musa serta Penolong Atase Pertahanan Thailand, Mejar Mohd Jaffny TUDM.

Selain Mesyuarat AWG MALTHAI ke-106, beberapa mesyuarat turut dilaksanakan di Thailand pada tarikh yang sama termasuklah Mesyuarat Airthamal (IPC) siri 33/25 di Korat, yang dipengerusikan bersama oleh Kol Hasfa Nyzam bin Abdul Hamid TUDM, Mesyuarat SMEE Air Intelligent di Bangkok, yang dipengerusikan bersama oleh Lt Kol Nurul Zaidee bin Kassim TUDM, Mesyuarat SOC CRC siri 23/25 di Phantum Thani, Bangkok, yang dipengerusikan bersama oleh Lt Kol Md Rizam bin Ahmad TUDM dan Mesyuarat SMEE Training School (INSKEP) di Don Mueng, Bangkok, yang dipengerusikan bersama oleh Lt Kol Syaffiza bin Abdul Razak TUDM.

Seramai 37 pegawai TUDM telah menghadiri mesyuarat-mesyuarat tersebut di Thailand. Antara program-program yang dirancang oleh TUDM dan RTAF di antaranya adalah program pertukaran pegawai, pertukaran kepakaran, kursus kerjaya dan eksesais bersama seperti Air THAMAL.

Mesyuarat yang dilaksanakan ini juga berfungsi untuk meningkatkan tahap keserasian, setiakawan dan hubungan kerjasama antara kedua-dua angkatan udara. Selain itu, ia juga bagi memperkukuh hubungan baik yang sedia terjalin serta memastikan keselamatan serantau terus terpelihara.

Sebagai sebahagian daripada program lawatan, delegasi TUDM dari Mesyuarat AWG MALTHAI turut dibawa melawat ke tapak tinggalan sejarah peradaban Siam di Ayutthaya termasuk Kuil Buddha Emas terbesar di bandar tersebut dan tapak pelabuhan lama Ayutthaya. Bandar Ayutthaya, yang pernah menjadi ibu negara Thailand sebelum Bandar Raya Bangkok, mempunyai pelbagai khazanah sejarah yang mengagumkan. Pada sebelah malam, pihak RTAF turut menganjurkan majlis ramah mesra dan makan malam di atas kapal persiaran mewah The Opulence, yang belayar selama hampir dua jam di atas Sungai Chao Phraya. Ia memberikan pengalaman yang sukar dilupakan oleh delegasi AWG MALTHAI dari Malaysia.

Pada hari terakhir sebelum pulang ke Malaysia, delegasi AWG MALTHAI dan SMEE Training School (INSKEP) sempat melawat Sekolah SOC di Don Mueng, Bangkok. Delegasi disambut oleh Ketua Sekolah SOC, Gp Capt Kittipong Temduang. Delegasi TUDM juga berkesempatan bertemu beberapa pelatih TUDM yang sedang menjalani Kursus Bahasa di pusat tersebut. Panglima Wilayah Udara 1, yang juga pernah menuntut di Pusat Bahasa ini, tidak melepaskan peluang untuk memberi kata-kata semangat dalam bahasa Thai, mengharapkan agar para pelatih terus berusaha dan memanfaatkan peluang belajar yang diberikan dalam tempoh enam bulan yang tersedia.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer