MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) DAN KONTRAK UNTUK KEMENTERIAN PERTAHANAN SEMPENA PAMERAN DSA DAN NATSEC ASIA 2022 BAKAL MEREALISASIKAN PERANCANGAN PEROLEHAN ASET BAHARU TUDM DAN NAIKTARAF ASET UDARA

1 2 3
4 5 6

 

KUALA LUMPUR, 30 Mac 22 - Perancangan dan hala tuju Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi perolehan aset baharu dan menaiktaraf aset udara bakal direalisasikan dengan termeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dan kontrak hari ini yang dilaksanakan di MITEC Kuala Lumpur semasa berlangsungnya Pameran DSA dan NATSEC Asia 2022. MoU dan Kontrak tersebut ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg Dato' Sri Muez bin Abd Aziz bersama wakil-wakil dari industri pertahanan yang disaksikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM turut hadir menyaksikan majlis ini berserta pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM, iaitu Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato' Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM; Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato' Seri Zamrose bin Mohd Zain; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany, pegawai-pegawai Kanan ATM dan Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan serta delegasi industri pertahanan.

Di majlis menandatangani MoU dan kontrak ini, TUDM bakal menerima 36 pesawat pejuang baharu “Fighter-Lead-In-Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) dalam dua (2) fasa yang akan menggantikan pesawat pejuang MiG-29N, pesawat pejuang HAWK serta pesawat Aermacchi (MB-339CM).

TUDM juga bakal memperoleh tiga (3) Radar Pertahanan Udara Jarak Jauh (Long-Range Air Defence Radars (LORAD)); Sistem Misil Pertahanan Udara Jarak Sederhana (Medium-Range Air Defence Radar) (MERAD)); Sistem Udara Tanpa Pemandu (Unmanned Aerial Surveillance (UAS)); Sistem Udara Tanpa Pemandu Aras Sederhana Ketahanan Tinggi (Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE-UAS)) dan pesawat rondaan maritim (Maritime Patrol Aircraft (MPA)).

Manakala di bawah Inisiatif Keselamatan Maritim (Maritime Security Initiative (MSI)) pula, tiga (3) pesawat pengangkut CN235-220M milik TUDM sedang dalam proses naiktaraf bagi memenuhi peranan Pesawat Pengawasan Maritim (Maritime Surveillance Aircrafts (MSA)) yang akan berupaya melaksanakan tugas perisikan, pengawasan dan peninjauan (Intelligence, Surveillance and Reconnaissance (ISR)).

Di samping itu, TUDM menerima empat (4) buah helikopter utiliti AW139 melalui kaedah Government Operate, Company Own and Maintain (GOCOM) sebagai penggantian interim (jangka pendek) secara leasing helikopter NURI yang telah ditamatkan pengoperasiannya, Perancangan TUDM dibuat untuk memperoleh 24 buah helikopter baharu dengan perolehan 12 helikopter pada Fasa 1 (RMK13 (2026-2030) dan 12 helikopter pada Fasa 2 (RMK14 (2031-2035).

Dengan tercapainya MoU dan perjanjian kontrak pada DSA 2022 edisi ke-17 kali ini, ianya sejajar dengan agenda utama Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau dikenali CAP55 iaitu penstrukturan keupayaan kuasa udara bagi pelaksanaan perolehan aset utama serta tonggak pertama kepada Perintah Ulung Panglima Tentera Udara iaitu Pemantapan Keupayaan dan Kesiagaan TUDM.