KUALA LUMPUR, 22 Sep 2022 - KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat ke Majlis Santapan Beradat Sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-89 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, Kuala Kumpur.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua telah disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM dan isteri Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hjh Tengku Muhaini Binti Almarhum Sultan Hj. Ahmad Shah serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato' Sri Muez bin Abd Aziz dan isteri Datin Sri Rafidah binti Latif.
Majlis ini turut dihadiri oleh Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Panglima-panglima perkhidmatan serta Pegawai-pegawai Kanan dan pegawai-pegawai ATM ketiga-tiga perkhidmatan bersama isteri.
Majlis Santapan Beradat ini merupakan majlis rejimental yang dilaksanakan pada setiap tahun bertujuan untuk memuliakan Baginda selaku Pemerintah Tertinggi ATM dan bersempena sambutan Hari ATM yang jatuh pada 16 September setiap tahun.
Di majlis ini juga lima Panji-Panji KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong iaitu Panji-panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diarak masuk ke dewan santapan di samping Baginda berdua turut menyempurnakan upacara memotong kek dan pulut kuning sempena Sambutan Hari ATM Ke-89 tahun ini.