KUALA LUMPUR, 18 Apr 22 – Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah menghadiri Majlis Perjumpaan, Berbuka Puasa dan Ramah Mesra Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz Bersama Persatuan-Persatuan Veteran ATM anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Kementerian Pertahanan bertempat di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur.
Dalam program ini turut diadakan juga sesi dialog bersama 80 Persatuan-Persatuan Veteran ATM dari seluruh negara yang bertujuan untuk mendapatkan input daripada veteran ATM mengenai permasalahan yang timbul dalam menjaga kebajikan persatuan dan ahli, memberi penerangan kepada semua persatuan Veteran ATM berkaitan hala tuju persatuan dalam menjaga kebajikan ahli, membentuk jaringan kerjasama strategik antara persatuan dan Jabatan serta melahirkan persatuan veteran yang dinamik.
Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sentiasa berusaha untuk mencari inisiatif baru dalam usaha memperkasakan warga Veteran ATM dan akan terus membuat penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti hidup warga Veteran ATM. Setakat tahun 2020 sehingga kini anggaran jumlah keseluruhan bantuan kebajikan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan ialah sebanyak lebih RM 427 juta.
Antara usaha-usaha terkini yang telah dilaksanakan oleh Kementerian adalah meliputi bantuan kebajikan serta Inisiatif dan Pelan Peningkatan Sosioekonomi Veteran ATM bagi peluang kerjaya kedua pasca Perkhidmatan untuk Veteran ATM termasuk berpencen dan tidak berpencen. Insentif-insentif yang telah pihak kerajaan realisasikan kepada Veteran ATM adalah sebagai penghargaan terhadap jasa dan bakti Veteran ATM mempertaruhkan nyawa, berkorban masa dan tenaga semata-mata untuk menjaga kedaulatan negara ini. Semoga Veteran TUDM juga mengambil peluang di atas inisiatif,bantuan dan insentif yang diberikan tersebut melalui JHEV ATM.
Di majlis yang sama,pihak Affin Hwang Investment Bank telah turut menunaikan kewajipan membayar zakat berjumlah RM 360 ribu kepada Yayasan Veteran ATM untuk kegunaan aktiviti dan kebajikan bagi asnaf-asnaf veteran ATM yang layak.