KUALA LUMPUR, 13 Apr 23 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dan isteri, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan selaku Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Udara telah hadir ke Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri oleh para penyumbang kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2023 yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan. Acara yang diadakan setiap tahun ini bertujuan bagi menghargai para penyumbang yang sentiasa menyokong dan menghargai perjuangan dan jasa ATM kepada Negara.
Tahun ini sebanyak 79 buah syarikat, badan korporat serta individu telah menyumbang kepada ATM. Majlis yang berlangsung di Auditorium Wisma Pertahanan ini telah menampilkan kehadiran semua penyumbang bagi menyampaikan cek mock-up dan sumbangan masing-masing kepada Menteri Pertahanan. Keseluruhan sumbangan sebanyak RM 2.16 juta telah diterima ATM dalam bentuk wang tunai, barangan keperluan dan juadah hari raya.
Dengan sumbangan tersebut, ATM berjaya menyediakan 15,000 beg yang akan diserahkan kepada semua perajurit dan pertiwi negara yang bertugas menjaga keselamatan perbatasan dan kesejahteraan negara semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri 1444H di seluruh pelusuk tanah air melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Dalam majlis ini juga, Menteri Pertahanan turut menyempurnakan penyampaian sumbangan dalam bentuk beg yang berisi pelbagai barangan sebagai simbolik penyerahan kepada Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman bin Ayob; Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dan Lt Jen Datuk Mohamad Hafizuddeain bin Jantan yang mewakili Panglima Tentera Darat.
Barangan sumbangan tersebut telah diterima dan dikumpul serta dilaksanakan pembungkusan semula oleh isteri-isteri pegawai dan anggota ATM yang sentiasa berganding bahu menjadi tulang belakang dalam membantu menjayakan sebarang keperluan ATM selama ini. Menteri Pertahanan juga turut menyampaikan sumbangan kepada Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hajah Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah, Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM mewakili Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) ATM atas usaha dan tenaga kerja tersebut.
Selain sumbangan tersebut, YB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan mewakili ATM bagi menerima sumbangan Zakat, Wakalah dan Waad yang diserahkan oleh wakil daripada 8 agensi. Jumlah keseluruhan Zakat, Wakalah dan Waad yang disumbangkan adalah berjumlah RM 2.01 juta yang diterima daripada Affin Islamic Bank Berhad, Koperasi Tentera, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang bersama Pusat Kutipan Zakat Negeri Pahang, Lembaga Zakat Negeri Kedah, Zakat Pulau Pinang, Lembaga Zakat Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada para penyumbang kerana sentiasa menghulurkan sumbangan dan bantuan demi keperluan ATM.
Turut hadir ke majlis pada hari ini ialah Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari; KSU Kementeri Pertahanan, YBhg Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz; Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Seri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM dan isteri Datin Seri Hjh Wan Nor Sazlina binti Wan Abd Shukor; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Shahada bin Ismail TUDM dan isteri Datin Dr Halina binti Haron; Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Masro bin Kaliwon TUDM dan isteri Puan Dewimastura binti Tumiran serta pegawai-pegawai kanan ATM bersama isteri masing-masing.