KUALA LUMPUR, 8 Sep 2020 - Panglima Pendidikan & Latihan Udara, Lt Jen Dato' Roshaimi bin Zakaria TUDM mewakili Panglima Tentera Udara telah hadir ke Majlis Pelancaran Quran Corner dan Perasmian Penutup Nadwah Ilmiah (NAIM) Perdana 2020 bertempat di Wisma Perwira ATM. Kedua-dua majlis tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM.
Objektif utama program “Quran Corner” ini adalah untuk memperkasakan dan mendekatkan warga ATM dengan Al-Quran sebagai sumber rujukan utama selaku perwira dan perajurit negara. Program ini secara tidak langsung dapat menyuburkan semangat dan rasa kecintaan terhadap kitab suci Al-Quran sebagai sumber utama kekuatan spiritual warga ATM. Pelancaran “Quran Corner” ini mengambil sempena penganjuran Program Nadwah Ilmiah (NAIM) Perdana 2020 melibatkan pegawai-pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM.
Program NAIM merupakan program tahunan berkonsepkan seminar keilmuan Islam yang disusun dan dirancangkan khusus untuk pegawai-pegawai ATM. Seramai 300 peserta telah menghadiri program NAIM kali ini. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Arah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) bertujuan memperkasakan penghayatan Maqasid Syariah dalam organisasi dan meningkatkan kepekaan dan keprihatinan terhadap isu-isu semasa umat Islam dalam memahami cabaran dan mencari kaedah penyelesaian yang terbaik. Di samping itu juga, ia juga bertujuan untuk melahirkan mukmin professional yang berupaya mengimbangi antara tuntutan hablumminallah (hubungan manusia dengan Allah SWT) dan juga hablumminannas (hubungan manusia sesama manusia).
Sebanyak empat kertas kerja telah dibentangkan dalam program ini yang dikendalikan oleh JAKIM dan juga Konsultan dari Fitrah Perkasa yang memfokuskan tentang isu mukmin professional aset kecemerlangan ummah dan juga Maqasid Syariah di dalam pentadbiran.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima-Panglima Perkhidmatan serta pegawai-pegawai kanan tentera dan awam Kementerian Pertahanan.