KUALA LUMPUR, 28 Mac 22 – Panglima Tentera Udara, Jen Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah menghadiri acara berprestij Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2022 yang kembali mewarnai kalendar acara rasmi Malaysia tahun 2022 dengan bermulanya Majlis Pelancaran Pembukaan DSA dan NATSEC Asia 2022 pada hari ini. Simbolik majlis pelancaran pembukaan telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Dalam Negeri, YB Dato’ Seri Hamzah bin Zainuddin bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa, (MITEC) Kuala Lumpur.
Turut sama dalam acara tersebut adalah Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan bin Hj Abd Aziz; Pengerusi DSA, Tan Sri Asmat Kamaludin; Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain; manakala di pihak pengurusan tertinggi TUDM dihadiri oleh Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato' Indera Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM serta warga Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri serta delegasi tetamu dan pempamer DSA dan NATSEC Asia.
Penganjuran DSA dan NATSEC Asia sebelum ini adalah pada tahun 2018 dan kini DSA 2022 edisi ke-17 dan National Security (NATSEC) Asia 2022 edisi ke-2 berlokasi di MITEC buat kali kedua. Pameran dan persidangan bertemakan ”Ke Arah Era Baharu Pertahanan dan Keselamatan" atau “Advancing into a New Era of Defence and Security”, dilaksanakan secara serentak dan dianjurkan bersama oleh Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Acara mega ini adalah antara acara pertahanan dan keselamatan yang terbaik dan terbesar di rantau ASEAN, dan juga dunia.
DSA & NATSEC Asia 2022 dianggarkan melibatkan penyertaan dari lebih 50 buah negara dan wilayah termasuk 4,800 pelawat antarabangsa, membabitkan pakar industri pertahanan/keselamatan, pempamer, delegasi kenamaan, kakitangan kerajaan, peneraju industri serta wakil media dalam dan luar negara.