MAJLIS MENANDATANGANI PROSEDUR TETAP OPERASI OP BENTENG LIBATKAN AGENSI-AGENSI DIBAWAH NATIONAL TASK FORCE (NTF)

1 2 3

 

KUALA LUMPUR, 14 Disember 2020 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah turut hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Prosedur Tetap Operasi (PTO) Operasi BENTENG (OP BENTENG) yang menjadi tanda aras kepada usaha kolaberasi inter-agensi yang diselaraskan dalam Komponen OP BENTENG yang diadakan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM.

Tujuan utama pembangunan PTO ini adalah sebagai panduan dan rujukan tatacara dan prosedur OP BENTENG sehingga ke peringkat taktikal bagi memastikan keberhasilan impak yang positif terhadap pelaksanaan operasi dalam komponen darat, laut dan udara di bawah National Task Force (NTF).

4 5 6

 

Sebanyak 19 agensi penguatkuasa dan pasukan-pasukan keselamatan negara terlibat dalam menandatangani PTO OP BENTENG yang disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid bin Bador, Ketua-ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan dan Panglima-panglima Perkhidmatan ATM yang lain. Di bawah NTF, agensi yang terlibat secara langsung adalah Markas Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Markas Angkatan Bersama, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perhilitan Hidupan Liar dan Taman Negara, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan, dan Jabatan Perikanan Malaysia.

7 8 9

 

Op BENTENG dioperasikan dengan penubuhan NTF pada awalnya bagi membanteras kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara serta bertujuan mengekang penyebaran pandemik COVID-19. PTO yang telah mula dibangunkan pada April 2020 selaras dengan pelaksanaan operasinya, adalah bagi memastikan operasi berjalan dengan lebih sistematik, efektif dan menyelaras pengarahan operasi bersepadu bersama agensi-agensi penguatkuasaan dan pasukan-pasukan keselamatan.