SUBANG, 7 Apr 22 - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) buat kali pertama di fasa endemik memulakan hari ke-5 Ramadan 1443H dengan Majlis Berbuka Puasa TUDM di Masjid Pangkalan Udara Subang. Majlis Berbuka Puasa TUDM menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM serta isteri, YAM Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Hajah Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah.
Ketibaan YB Menteri Kanan Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera serta isteri di Masjid Pangkalan Udara Subang telah disambut oleh Panglima Tentera Udara, Jen Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dan isteri, Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan serta pengurusan tertinggi TUDM. Turut hadir di majlis berbuka puasa ini ialah Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato' Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz; Ketua Setiausaha, Dato' Sri Muez bin Abd Aziz; Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato' Indera Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima-panglima Pemerintahan; Mantan-mantan Panglima Tentera Udara; mantan-mantan pegawai kanan TUDM; para pegawai kanan dan isteri, ahli BAKAT Udara serta warga TUDM.
Sebelum waktu berbuka, para hadirin telah disajikan dengan tazkirah bertajuk 'Ramadan Peluang Perbaiki Diri' yang disampaikan oleh Ustaz Zulkifli bin Ahmad. Selepas berbuka,para jemaah menunaikan solat Maghrib seterusnya solat Isyak dan Tarawih yang diimamkan oleh Kapt Amirrul Haffis bin Mohamad Al-Hafiz.
Meskipun telah melalui fasa endemik, pematuhan terhadap pencegahan Covid-19 tetap dititikberatkan dengan pemakaian pelitup muka dan penggunaan "hand sanitizer". TUDM turut merakamkan terima kasih kepada YB Menteri Kanan Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera serta pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan di atas keprihatinan untuk bersama warga TUDM di majlis ini sebagai tanda penghargaan dan sokongan. Semoga Ramadan kali ini memberikan sinar baharu kepada seluruh warga TUDM dan seluruh rakyat Malaysia untuk melalui norma baharu endemik.