MAJLIS BACAAN YASIN DAN TAHLIL SERTA KHUTBAH KHAS SOLAT JUMAAT SEMPENA HARI ATM KE-87

1 2 3
5 6 7
8 9 10
12

 

KUALA LUMPUR, 18 Sep 20 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Haji Abdul Samad TUDM telah menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil serta Khutbah Khas Solat Jumaat sempena Hari ATM Ke-87 bertempat di Masjid Khalid Al-Walid, Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan yasin dan tahlil seterusnya Khutbah Khas Solat Jumaat sempena Hari ATM Ke-87 yang bertajuk ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’. Khutbah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mej Jen Dato' Hj Nawawi bin Daud dan diakhiri dengan Solat Jumaat.

Di antara intipati pengisian khutbah menyentuh tentang peranan orang ramai sebagai warga negara adalah menjaga tatasusila hidup dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan budaya dengan menjadikan rukun negara sebagai teras dalam kehidupan seharian. Penghayatan prinsip rukun negara membantu setiap individu untuk menjaga sensitiviti kaum yang lain dalam pergaulan seterusnya memupuk perasaan bertuah hidup dalam sebuah negara yang berdaulat dan mempunyai budaya dan adat resam yang pelbagai yang menjadi asas kukuh untuk membina kekuatan dan keunikan yang tersendiri. Malaysia perlu dikenali bukan hanya makmur dari segi ekonomi dan pembangunan malah menjadi negara beridentitikan kepelbagaian agama, bangsa dan budaya sekali gus dapat bersama dalam suasana aman serta harmoni.

Selain itu, memasuki era baru pertahanan dan keselamatan negara, organisasi ATM dan rakyat perlu berganding bahu dan bersatu tenaga untuk memastikan keselamatan negara terus terpelihara. Ancaman masa kini yang lebih kompleks dan memerlukan pemerhatian serta penyaluran maklumat yang benar kepada setiap agensi keselamatan perlu mendapat dukungan penuh dari masyarakat awam. Sebagai contoh, peristiwa pencerobohan Pantai Timur Sabah pada Feb 2013 antara bentuk ancaman keselamatan yang menuntut pihak ATM sentiasa bersiapsiaga dengan segala kekuatan yang ada bagi memastikan kedaulatan negara terus dipertahankan.

Turut ditekankan oleh khatib adalah keperluan membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19, untuk mengamalkan norma baharu seperti mana yang diumumkan oleh KKM. Kerjasama yang erat antara barisan hadapan (front liners) dan setiap ahli masyarakat amat diperlukan dalam menangani wabak yang melanda negara. Adalah menjadi peranan setiap rakyat membantu pihak berwajib dengan mengambil sikap mematuhi segala ketetapan yang telah diambil ke arah menangani penularan Covid-19 dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara Malaysia tercinta.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato' Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM; Panglima-panglima Perkhidmatan; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Roshaimi bin Zakaria TUDM serta warga ATM dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan.