KUALA LUMPUR, 15 Dis 22- Panglima Tentera Udara , Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM selaku Yang Dipertua Sukan ATM telah menyempurnakan Majlis Anugerah Sukan ATM Tahun 2019 bertempat di Eagle Nest, Markas Tentera Udara yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Angkatan Tentera, hari ini. Majlis Anugerah Sukan ATM 2019 adalah sebagai meraikan dan memberi pengiktirafan di atas kecemerlangan serta pencapaian sukan yang dicapai kepada para atlet, jurulatih dan pentadbir sukan yang telah berjaya mengharumkan nama ATM sepanjang tahun 2019. Majlis yang dirancang ini telah tertunda berikutan kekangan pandemik Covid-19.
Pada majlis ini, disampaikan anugerah-anugerah iaitu Lambang Emas, Penerima Anugerah Khas, Jurulatih Sukan Terbaik, Tokoh Sukan dan Anugerah Olahragawan serta Olahragawati bagi tahun 2019. Penerima Lambang Emas ialah Sjn U Muhamad Hafizuddin bin Mat Daud bagi sukan petanque, Kpl Mohd Saddam bin Mohd Pitli bagi sukan olahraga, LKpl Zaidatul Husniah binti Zulkifli bagi sukan olahraga, Sjn Juliani binti Mohamad Din bagi sukan hoki dan LK 1 PNK Lee Hup Wei bagi sukan olahraga.
Penerima Anugerah Khas dianugerahkan kepada Kpl U Syazrul Ezat bin Idrus bagi sukan kriket. Beliau telah dinobatkan dengan anugerah ini di atas pengiktirafan sebagai Pembaling Kelima Terbaik Dunia bagi Sukan Kriket Format T20 yang disenaraikan oleh International Cricket Council (ICC).
Penerima bagi anugerah Jurulatih Sukan Terbaik telah dinobatkan kepada SSjn Aswadi bin Abdullah bagi sukan sepak takraw. Penglibatan beliau sebagai jurulatih utama Persatuan Sepak Takraw ATM bermula tahun 2000 telah menaikkan imej ATM dengan meraih pelbagai kejayaan dalam kejohanan-kejohanan berprestij kebangsaan seperti Piala Emas Khir Johari, Sepak Takraw League (STL), Sepak Takraw Champions serta banyak kejohanan-kejohanan tempatan yang lain malah beliau pernah ditawarkan sebagai Jurulatih Skuad Sepak Takraw Kebangsaan.
Anugerah Tokoh Sukan ATM 2019 disandang oleh Kdr Mahathevan P.Muniandy TLDM (Bersara) bagi acara olahraga. Beliau telah banyak menabur bakti bersama ATM khususnya dalam sukan olahraga sama ada sebagai atlet, jurulatih mahupun pegawai teknikal kejohanan. Beliau telah menunjukkan komitmen yang amat tinggi dalam menguruskan Pasukan Olahraga Angkatan Tentera dengan mencatatkan pelbagai pencapaian cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta merupakan salah seorang Ahli Majlis dalam Kesatuan Olahraga Malaysia.
Olahragawan ATM 2019 disandang oleh LK 1 PNK Lee Hup Wei. Beliau mula mewakili ATM dalam acara lompat tinggi dengan mencatatkan pelbagai kejayaan mulai tahun 2010 sehingga 2018. Beliau merupakan pemenang pingat emas Sukan Sea Manila 2019 dan menduduki tempat ke 16 dunia dalam acara lompat tinggi, menduduki tempat ke 8 Dalam Kejohanan Olahraga Dunia pada tahun yang sama. Beliau telah menamatkan perkhidmatan daripada ATM setelah 14 tahun mencurah bakti dalam Tentera Laut Diraja Malaysia.
Olahragawati ATM 2019 pula telah dinobatkan kepada Sjn Juliani binti Mohamad Din dari sukan hoki. Beliau telah merekodkan pelbagai kejayaan membanggakan bersama skuad Hoki Wanita Kebangsaan dan ATM pada tahun 2019 dan kemuncaknya adalah meraih pingat emas bersama Pasukan Hoki Wanita Kebangsaan di Temasya Sukan Sea Manila 2019. Malahan turut meraih tempat ketiga bersama Skuad Kebangsaan di Kejohanan Hockey World Series Final pada tahun yang sama.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pengerusi LSTD, Lt Jen Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman; Pengerusi LSTUDM, Lt Jen Dato’ Indera Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Pengerusi Persatuan Petanque ATM, Lt Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Pengerusi Persatuan Hoki ATM, Brig Jen Ayub Khan bin Mohamad Khan TUDM dan Pengerusi Persatuan Kriket ATM, Kol Norazman bin Ismail TUDM serta Pegawai-pegawai Kanan TUDM yang lain.
Sekalung tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah pada hari ini. Semoga kekal cemerlang dan menjadi motivasi kepada warga ATM yang lain.