LAWATAN RASMI PEMERINTAH ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI

1 2 3
4 5 6

 

KUALA LUMPUR, 8 Jun 22- Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM turut bersama-sama Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM serta Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato' Seri Zamrose bin Mohd Zain dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany menyambut ketibaan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Mulia Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Hj Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan di Wisma Pertahanan, hari ini.

Sebaik ketibaannya, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Mulia Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Hj Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan telah diberikan penghormatan mengambil tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang terdiri daripada 3 pegawai dan 103 anggota Lain Lain Pangkat yang di ketuai oleh Mejar Nurul bin Md Sabri.

Lawatan rasmi Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bersama delegasi ini adalah untuk mengeratkan dan mengukuhkan hubungan kerjasama diplomatik pertahanan serantau di antara Malaysia dan Brunei.

Selain daripada itu, antara rangka lawatan rasmi Pemerintah ABDB ini akan turut melibatkan lawatan ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Sg. Besi dan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) di Putrajaya.

Seluruh warga TUDM turut mengalu-alukan kehadiran Pemerintah ABDB ke Malaysia.