KUALA LUMPUR, 6 Sep 22- Commander Air Operation Command, German Air Force, Lt Gen Thorsten Poschwatta telah mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia khususnya kepada pucuk pimpinan tertinggi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini. Beliau dan delegasi tiba di Malaysia pada 4 Sep 22 telah memulakan lawatan hari ini dengan melawat Markas Pemerintahan Operasi Udara di Pangkalan Udara Subang. Ketibaan beliau telah disambut oleh Ketua Staf MPOU, Brig Jen Dato’ Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM bersama pegawai kanan TUDM dan kumpulan eksekutif pangkalan. Sebelum itu beliau juga turut menerima tabik hormat Kawalan Kuarter yang didirikan oleh anggota Pangkalan Udara Subang.
Commander Air Operation Command, German Air Force, bersama delegasi kemudiannya meneruskan lawatan ke No 8 Skuadron. Ketibaan Lt Gen Thorsten Poschwatta disambut oleh Pegawai Memerintah No 8 Skuadron, Lt Kol Wan Azrul bin Wan Azmy TUDM serta diberikan taklimat berkenaan pengoperasian pesawat angkut A400M. Dalam lawatannya di No 8 Skuadron, beliau juga turut melawat pesawat A400M milik TUDM.
Selesai lawatan di No 8 Skuadron, beliau telah meneruskan lawatan kerjanya ke Institut Perubatan Penerbangan (IPP). Ketibaan beliau dan delegasi telah disambut oleh Pengarah IPP TUDM, Brig Jen (Dr) Mohamed Haizar bin Haron dan diberi taklimat berkenaan Pusat Penyelidikan dan Latihan Simulator-G. Di sini beliau turut dibawa melihat fasiliti-fasiliti yang diuruskan oleh IPP.
Di akhir lawatan rasmi ini, Commander Air Operation Command, German Air Force bersama delegasi dibawa ke Wisma Pertahanan. Sebaik tiba di Wisma Pertahanan, beliau telah menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan kuarter yang didirikan oleh anggota daripada Markas Tentera Udara. Usai menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan kuarter, beliau telah diiringi Asisten Ketua Staf Operasi dan Strategi, Mej Jeneral Dato’ Zulkifli bin Hj Hamid TUDM bagi membuat kunjungan hormat ke atas Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM. Pertemuan ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi hubungan diplomasi pertahanan di antara TUDM dan German Air Force di samping berkongsi maklumat dan pengalaman kedua-dua pihak.