![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
JUGRA, 24 Jun 2025 – Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, bersama isteri beliau, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan, selaku Pengerusi Jemaah BAKAT Udara (JBU), telah mengadakan lawatan penghargaan ke Markas Rejimen TUDM, PASKAU TUDM dan Pangkalan Udara Jugra sempena persaraan beliau yang akan datang.
Ketibaan Panglima Tentera Udara dan rombongan telah disambut dengan istiadat kawalan kehormatan oleh anggota gabungan Pangkalan Udara Jugra dan Pasukan Khas TUDM. Lawatan kemudiannya diteruskan dengan sesi ramah mesra bersama warga Rejimen di Wisma Ahli Udara, serta pertemuan bersama warga BAKAT PU Jugra di Rumah BAKAT.
Sebagai sebahagian daripada pengisian lawatan, telah diadakan persembahan pencapaian oleh lima anggota TUDM dalam sukan tinju dan Muay Thai, yang mempamerkan kejayaan mereka menjuarai kejohanan dan memperoleh tali pinggang kejuaraan. Persembahan ini bukan sahaja menyerlahkan kecemerlangan dalam bidang sukan tempur, malah turut mencerminkan tahap kecekapan, disiplin dan daya juang tinggi warga muda TUDM dalam aspek kecergasan fizikal dan ketahanan diri.
Sebagai simbolik penghargaan dan pengiktirafan, Panglima Tentera Udara telah memakaikan sendiri tali pinggang kejuaraan kepada setiap anggota terlibat, sebagai tanda penghormatan atas pencapaian mereka serta dorongan kepada seluruh warga TUDM agar terus cemerlang dalam pelbagai bidang. Selesai persembahan, Panglima Markas Rejimen TUDM turut menyampaikan cenderamata kepada Panglima Tentera Udara sebagai tanda penghargaan dan kenangan terhadap kepimpinan beliau serta sumbangan besar kepada pembangunan Rejimen dan TUDM secara keseluruhan.
Dalam masa yang sama, Pengerusi Jemaah BAKAT Udara telah menghadiri majlis berasingan di Rumah BAKAT PU Jugra. Majlis tersebut dimulakan dengan tayangan montaj khas mengenang jasa beliau, disusuli demonstrasi kraftangan oleh ahli-ahli BAKAT serta ucapan penghargaan beliau kepada seluruh warga BAKAT PU Jugra yang telah bersama-sama memperkukuh komuniti keluarga anggota TUDM.
Sebagai tanda terima kasih dan penghormatan, Pengerusi BAKAT PU Jugra turut menyampaikan cenderamata kepada Puan Sri, mewakili seluruh ahli BAKAT PU Jugra atas bimbingan dan kepimpinan cemerlang beliau sepanjang menerajui Jemaah BAKAT Udara. Majlis diteruskan dengan jamuan makan bersama warga Rejimen dan ahli BAKAT di Wisma Ahli Udara, diikuti sesi bergambar kenangan yang mengabadikan detik-detik penuh makna dan kebersamaan.
Sebagai penutup, acara ‘street lining’ dilaksanakan oleh warga Rejimen semasa keberangkatan pulang Panglima Tentera Udara dan Pengerusi Jemaah BAKAT Udara sebagai simbol penghormatan dan penghargaan terakhir daripada seluruh warga Rejimen TUDM terhadap kepimpinan yang telah banyak berjasa dan meninggalkan legasi tersendiri.
Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh semangat kekeluargaan dalam komuniti TUDM, malah turut mencerminkan nilai murni serta budaya penghargaan yang tinggi terhadap pemimpin yang telah menabur bakti kepada negara dan perkhidmatan udara selama ini.