![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUANTAN, 18 Jun 2025 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah melaksanakan Lawatan Penghargaan dan menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi Tahun 2024 Zon Timur yang berlangsung di Pangkalan Udara Kuantan. Turut hadir ialah isteri beliau, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan selaku Pengerusi Jemaah BAKAT Udara (JBU) yang turut melaksanakan Lawatan Penghargaan ke BAKAT Udara Pangkalan Udara Kuantan.
Ketibaan Panglima Tentera Udara dan isteri telah disambut oleh Komander Pangkalan, Brig Jen Ahmad Edros bin Ahmad Osman TUDM dan isteri, Puan Zainab binti Abdullah. Panglima Tentera Udara kemudiannya telah diberi penghormatan untuk mengambil tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang didirikan oleh Pangkalan Udara Kuantan bersama panji-panji No 10 Skuadron yang terdiri daripada 3 pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).
Seusai KKU, Panglima Tentera Udara telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil APC kepada 30 pegawai dan 185 anggota LLP daripada pangkalan udara Zon Timur yang diadakan di Dewan Seri Angkasa. Penyampaian sijil APC ini adalah sebagai penghargaan dan pengiktirafan atas pencapaian prestasi serta mutu kerja cemerlang yang ditunjukkan oleh pegawai dan anggota TUDM dalam bidang tugas masing-masing. Mereka telah menerima sijil berserta hadiah prestasi berjumlah RM1,000.00 yang dibayar melalui akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) di bawah seliaan PTPTN.
Pada masa yang sama, Pengerusi JBU telah menyempurnakan Majlis Perasmian Rumah BAKAT Pangkalan yang baharu. Beliau turut menyampaikan sumbangan kebajikan kepada ahli-ahli BAKAT serta waris yang menghidap penyakit kronik dan anak-anak OKU. Dalam lawatan ini, Pengerusi JBU turut mengambil kesempatan untuk menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh ahli BAKAT Udara pangkalan yang telah memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan institusi BAKAT serta memastikan kebajikan keluarga sentiasa terbela.
Panglima Tentera Udara dan isteri kemudiannya telah diraikan dalam satu Majlis Jamuan Makan Tengah Hari yang diadakan di Wisma Perwira. Semasa majlis tersebut, Panglima Tentera Udara turut mengambil kesempatan untuk menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada warga pangkalan atas segala kerjasama serta sokongan yang diberikan sepanjang beliau memegang tampuk pemerintahan. Beliau berharap agar seluruh warga pangkalan meneruskan legasi kecemerlangan TUDM dan sentiasa melaksanakan tugas dengan penuh amanah serta rasa tanggungjawab agar kedaulatan negara terus terpelihara.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh Komander Pangkalan dan isteri kepada Panglima Tentera Udara serta Pengerusi JBU sebagai tanda penghargaan atas segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh mereka berdua.