LAWATAN KERJA TAHUNAN PANGLIMA TENTERA UDARA KE PANGKALAN UDARA GONG KEDAK

1 2 3
4 5 6
7 8 9
10 11 12
13 14 15
16 17 18
19 20 21
22 23 24

 

GONG KEDAK, 22 Nov 23 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM meneruskan siri lawatan kerja tahunan beliau ke pangkalan-pangkalan udara dengan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Gong Kedak (PU Gong Kedak) selama tiga hari bermula pada 20 hingga 22 Nov 2023. Lawatan Kerja Tahunan Panglima Tentera Udara turut diiringi oleh isteri, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan merangkap Pengerusi Jemaah BAKAT Udara yang membuat lawatan kerja rasmi ke BAKAT Udara pangkalan.

Delegasi Panglima Tentera Udara turut disertai oleh Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Masro bin Kaliwon TUDM dan isteri, Puan Dewi Mastura binti Tumiran; Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM dan isteri, Datin Nor Asmah binti Hj Hashim; AKS Kejuruteraan, Mej Jen Hishammuddin bin Abdul Rahman TUDM dan isteri, Puan Zahara binti Ahmad; AKS Materiel, Brig Jen Nor Azmi bin Abd Rahman TUDM dan isteri, Puan Saleha binti Shafi Mohammad; AKS Tadbir, Brig Jen Hj Baharudin bin Hj Abu Hassan TUDM dan isteri, Puan Mazilawati binti Musa serta Inspektor Jeneral Tentera Udara, Brig Jen Mohd Kahar bin Mohd Kassim TUDM dan isteri, Puan Rosyatimah binti Ahmad.

Ketibaan PTU bersama delegasi telah disambut oleh Komander Pangkalan Udara Gong Kedak, Kol Mohd Faizal bin Abu Bakar TUDM dan pegawai-pegawai eksekutif pangkalan bersama isteri masing-masing. PTU telah diberi penghormatan menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) oleh PU Gong Kedak. Acara diteruskan dengan sesi taklimat oleh Komander Pangkalan di No12 Skn berkenaan pengoperasian, pencapaian dan cabaran yang dihadapi oleh pangkalan. Selesai taklimat, PTU dan delegasi membuat lawatan ke sekitar No 12 Skn dan kemudiannya ke Hangar Cawangan Kejuruteraan bagi melihat fasiliti di hangar tersebut serta perkembangan “Preventive and Restoration Work” (PRW) Pesawat Sukhoi SU-30MKM melibatkan kolaborasi secara “Smart Partnership” di antara TUDM dan Syarikat ATSC Sdn Bhd.

Dalam siri lawatannya, PTU turut meluangkan masa bersama warga pangkalan menikmati jamuan makan tengah hari dan mengadakan sesi dialog bersama anggota LLP di Wisma Ahli Udara. Acara lawatan kemudian diteruskan dengan tinjauan perkembangan Projek Senggaraan RKAT 2023 daripada Peruntukan Khas (Projek Madani) yang sedang dilaksanakan di pangkalan tersebut. PTU dan delegasi meneruskan lawatan ke MATRA 3 dan mengakhiri lawatan di Pusat Simulator No 12 Skn. Pada sebelah malam, Panglima Tentera Udara dan delegasi menyantuni para pegawai PU Gong Gedak di majlis makan malam yang diadakan di Wisma Perwira.

Serentak dengan lawatan ini juga, Pengerusi Jemaah BAKAT Udara (JBU), Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan bersama delegasi turut melaksanakan lawatan ke BAKAT Udara PU Gong Kedak. Lawatan rasmi ini bagi mengetahui perkembangan semasa dan melihat pelaksanaan aktiviti-aktiviti BAKAT Udara di PU Gong Kedak serta mendekati ahli-ahlinya sambil beramah mesra bersama ahli-ahli BAKAT Udara pangkalan. Ketibaan Pengerusi JBU di Rumah BAKAT PU Gong Kedak telah disambut oleh Pengerusi BAKAT Pangkalan, Mej Tytin Sabrina binti Mustafa TUDM serta Ketua Biro. Lawtaan kerja kali ini lebih bermakna apabila Pengerusi JBU menyempurnakan Perasmian Pusat Latihan Seni dan Kraf BAKAT-Semenanjung. Malahan sebagai institusi yang memfokuskan kebajikan keluarga, Pengerusi JBU dan delegasi telah melaksanakan lawatan kebajikan ke atas ahli-ahli BAKAT Udara serta ahli keluarga yang menghadapi masalah kesihatan. Mengakhiri lawatan, Pengerusi JBU turut melawat ke Amal Shoppe pangkalan yang menempatkan barang-barang jualan seperti kraftangan, produk makanan, pakaian dan sebagainya sebagai salah satu inisiatif dalam menjana pendapatan ahli-ahli BAKAT Udara PU Gong Kedak.