LAWATAN KERJA RASMI PANGLIMA TENTERA UDARA KE PANGKALAN UDARA GONG KEDAK

1 2 3
5 6 7
8 9 10

 

Gong Kedak, 10 Mac 2021 – Pangkalan Udara Gong Kedak menjadi destinasi seterusnya dalam rangka Lawatan Kerja Rasmi Panglima Tentera Udara (PTU), Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM selepas ATU, Ipoh. Lawatan kerja rasmi ini disertai bersama isteri beliau, Puan Sri Norainy binti Shahar Alam, merangkap Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Udara yang memfokuskan kepada lawatan kebajikan ke atas BAKAT Udara Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK).

Turut serta dalam lawatan kerja dua (2) hari yang bermula pada 9 Mac ialah Panglima Bantuan Udara, Lt Jen Dato' Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato’ Zahani bin Zainal Abidin TUDM; AKS Materiel, Brig Jen Zainal bin Abdul Manaf TUDM; Timbalan Ketua Staf MPOU, Brig Jen Dato' Othman bin Ahmad TUDM; Ketua Pengarah DGTA, Brig Jen Hishammuddin bin Abdul Rahman TUDM; KS MPPLU, Brig Jen Abdul Halim bin Othman TUDM serta beberapa pegawai kanan TUDM yang turut disertai oleh isteri yang merupakan Ahli Jemaah Tertinggi dan ahli BAKAT Udara.

Ketibaan PTU bersama deligasi telah disambut oleh Komander Pangkalan Udara Gong Kedak, Kol Wan Azwan Azwari bin Wan Ali TUDM dan kumpulan eksekutif pangkalan bersama isteri masing-masing. PTU telah menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan kuarter serta beliau dan delegasi turut membuat saringan suhu badan sebagai prosedur operasi tetap (SOP) langkah pencegahan Covid-19.

PTU dan delegasi terlebih dahulu telah diberikan taklimat berkenaan pengoperasian, pencapaian dan cabaran yang dihadapi oleh pangkalan oleh Komander Pangkalan. Seterusnya, beliau melawat No. 12 Skuadron dan diberikan taklimat pengoperasian skuadron oleh Pegawai Memerintah, Lt Kol Mohd Norazan bin Othman TUDM serta turut mencuba ‘flying suit’ juruterbang TUDM. Selepas meluangkan masa bertemu dan menyertai makan tengah hari bersama para pegawai Wisma Perwira PUGK, beliau dan delegasi meneruskan lawatan ke Cawang Kejuruteraan yang bertanggungjawab dalam aspek senggaraan pesawat.

PTU kemudiannya meneruskan lawatan kerja ke Skn 321. Delegasi PTU di berikan taklimat oleh Pegawai Memerintah Skn 321, Mej Mohd Hafiz bin Mohamed TUDM berkenaan tahap keupayaan semasa sistem ‘Signal Processor’ dan juga sistem komunikasi sedia ada. Di bilik UPS, taklimat telah diberikan oleh Ketua Bahagian Kejuruteraan, berkenaan keupayaan sistem dan juga selenggaraan yang digunakan bagi mengekalkan pengoperasian berada di tahap optima. PTU dan delegasi turut menguntukkan masa bertemu bersemuka dan menyantuni pegawai dan anggota di setiap skuadron dan cawang yang dilawati bagi mendekati dan mengetahui permasalahan di peringkat masing-masing.

PTU juga turut meluangkan masa bertemu dan bersama dengan anggota Lain-lain pangkat (LLP) Pegawai Tidak Bertauliah Kanan (PTBK/SNCO) dalam sesi minum petang bersama anggota berpangkat Sarjan Udara ke atas di Wisma Bintara. Beliau turut menyampaikan amanat dan hasrat beliau yang menitikberatkan pemerkasaan anggota ‘SNCO’ sebagai penggerak dan aset kepada perkhidmatan demi kesinambungan dan kecemerlangan organisasi.

Pada hari kedua lawatan, PTU telah menyempurnakan penanaman anak benih pokok durian Musang King. Selain berbudi kepada tanah menghijaukan bumi, penanaman anak benih durian Musang King akan menjadi simbolik kepada lawatan kerja PTU serta bakal membuahkan hasil pada masa hadapan yang boleh dinikmati oleh warga PUGK kelak.
Beliau meneruskan lawatan kerja meninjau Terminal Peluru 4 dan diberikan taklimat berhubung tahap pengoperasian di Terminal Peluru 4 dan MATRA 3. Lebih meninggalkan sejarah apabila PTU diberikan penghormatan merasmikan bangunan baharu MATRA 3 yang memberikan keselesaan dan persekitaran kerja yang lebih kondusif kepada anggota.
Mengakhiri lawatan kerja rasmi, PTU dan delegasi menguntukkan masa bersama warga PUGK berpangkat Koperal Udara dan ke bawah di KOMATRA dan bersama-sama makan tengah hari sebelum berlepas pulang.
Berupaya Bersiaga, Kedaulatan Terjaga.
Sentiasa Di Angkasa Raya.