KUALA LUMPUR, 23 Feb 23 – Chief of Staff (CoS) of the Republic of Korea Air Force (ROKAF), Jeneral Jung Sanghwa telah mengadakan Lawatan Kerja Rasmi yang juga merupakan lawatan ulung ke Malaysia khususnya ke Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selama tiga hari bermula hari ini. Beliau turut diiringi isteri, Madam Oh Taemi bagi program melibatkan lawatan yang diatur oleh Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Udara dalam rangka lawatan kerja ini.
Jeneral Jung Sanghwa memulakan lawatan rasmi dengan Kunjungan Hormat ke atas rakan sejawatannya, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Panglima Tentera Udara di Markas Tentera Udara, Wisma Pertahanan hari ini.
Ketibaan beliau di Wisma Pertahanan disambut oleh Panglima Tentera Udara serta Pegawai-pegawai Kanan TUDM. Beliau diberi penghormatan selaku tetamu negara sebagai pegawai mengambil tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terdiri daripada 3 pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mejar Ahmad Ridzuan bin Mohammad TUDM. Beliau seterusnya diperkenalkan dengan Pegawai-pegawai Kanan TUDM sebelum beredar ke Pejabat Panglima Tentera Udara bagi sesi kunjungan hormat.
Kedua-kedua pemimpin turut berbincang mengenai kerjasama strategik antara dua angkatan udara di samping hubungan diplomasi pertahanan dua angkatan. Kedua pemimpin tertinggi tentera udara saling berkongsi pandangan dan berharap semoga ikatan dua negara ini terus terjalin demi kestabilan dan keamanan serantau.
Dalam rangka lawatan di sini, Jeneral Jung Sanghwa turut mengadakan Kunjungan Hormat kepada Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari di Parlimen. Kunjungan hormat ini secara tidak langsung bagi mengukuhkan lagi jalinan kerjasama dari segi diplomatik pertahanan kedua-dua negara.
Beliau turut dijadualkan untuk melawat beberapa pangkalan TUDM sebagai sebahagian pengisian program lawatan rasmi ke Malaysia.
Sesungguhnya lawatan rasmi ini adalah sebagai tanda hubungan akrab yang terjalin di antara kedua-dua angkatan udara. Ia juga membuka ruang perbincangan secara langsung di antara kedua pihak menyentuh berkenaan pelbagai isu diplomatik dan kerjasama strategik pertahanan yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.