BUTTERWORTH, 5 Ogos 22 - Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Masro bin Kaliwon TUDM buat julung kalinya telah melaksanakan Lawatan Kerja Rasmi ke Materiel Udara 2 (MATRA 2), Terminal Peluru 2 (TP 2) dan “Hornet Readiness Centre” (HRC) Pangkalan Udara Butterworth. Lawatan tersebut turut disertai oleh Ketua Staf Khidmat MPBU, Kol Sharani bin Kamaruddin TUDM dan Pegawai Kanan dari MPBU.
Dalam rangka lawatan ini, Panglima Bantuan Udara telah diberi taklimat mengenai laporan keadaan semasa, cabaran dan kekangan di MATRA 2 yang telah disampaikan oleh Ketua MATRA 2, Lt Kol Khairul Razi bin Othman TUDM. Di TP 2 beliau telah diberikan taklimat oleh Ketua TP 2 iaitu Mej Indra Gunawan bin Norman Hidayat TUDM serta dibawa meninjau ke kawasan sekitar dengan lebih dekat.
Pada sesi petang, Panglima Bantuan Udara telah membuat lawatan ke hangar “Hornet Readiness Centre” (HRC) dan telah diberi taklimat mengenai status senggaraan bagi program Local Planned Maintenance 12 years (LPM12Y) pesawat pertama FA-18D serta taklimat status senggaraan pesawat F-18D di barisan pertama. Program LPM12Y merupakan program perintis bagi membaik pulih pesawat FA-18D (M45-01) yang dikolaborasikan menggunakan ilmu dan kepakaran anggota No 18 Skuadron bersama syarikat industri pertahanan.
Sepanjang lawatan ini, Panglima Bantuan Udara telah meninjau dan mengenal pasti kekangan serta cabaran yang dihadapi oleh unit-unit yang berkaitan dengan pengurusan Markas Pemerintahan Bantuan Udara bagi memastikan penyelenggaraan setiap pesawat tidak terjejas.