LAWATAN KERJA MENTERI KANAN PERTAHANAN KE MARKAS PEMERINTAHAN OPERASI UDARA DAN PANGKALAN UDARA SUBANG

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

SUBANG, 6 Februari 2021 - Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob hari ini telah melaksanakan lawatan kerja ke Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU) dan Pangkalan Udara Subang (PU Subang). Lawatan kerja beliau turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg Dato' Sri Muez bin Abd Aziz.

Ketibaan YB Menteri Kanan Pertahanan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan disambut oleh Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Bantuan Udara, Lt Jen Dato' Mohammad Norazlan bin Aris TUDM; Pegawai Laksana Pangkalan merangkap pemangku Komander PU Subang, Kol Mohammad Jafri bin Suboh TUDM serta barisan eksekutif markas dan pangkalan.

Sebaik ketibaan, YB Menteri Kanan Pertahanan telah menerima dan memeriksa Kawalan Kuarter dari PU Subang. Beliau seterusnya diberikan taklimat pengoperasian, hala tuju dan cabaran MPOU oleh Panglima Operasi Udara. Seterusnya YB Menteri Kanan Pertahanan turut dibawa ke sudut galeri bangunan baharu MPOU tersebut yang baharu dirasmikan pada Disember 2020.

YB Menteri Kanan Pertahanan kemudiannya meneruskan lawatan kerja ke No. 22 Skuadron. Beliau telah diberikan taklimat pengoperasian No. 22. Skuadron oleh Lt Kol Ir. Khairul bin Ayob TUDM, Ketua Bahagian Kejuruteraan No. 22 Skuadron. Lawatan kerja diteruskan ke A400M Part Task Trainer (PTT) Loadmaster dan YB Menteri Kanan Pertahanan telah diberikan taklimat oleh Mej Mohd Arhamar bin Jaafar TUDM, Ketua Bahagian Latih No. 22 Skuadron. No. 22 Skuadron adalah antara skuadron yang memainkan peranan penting dalam pengoperasian bantuan logistik bagi penghantaran udara peralatan perubatan dalam tempoh negara dilanda krisis kesihatan global pandemik Covid-19.

Seterusnya YB Menteri Kanan Pertahanan meneruskan lawatan kerja meninjau pengoperasian Pusat Penyelidikan dan Latihan Simulator-G,Institut Perubatan Penerbangan (IPP) TUDM. Ketibaan beliau disambut oleh Pengarah IPP TUDM, Brig Jen (Dr) Mohamed Haizar bin Haron. Taklimat turut disampaikan oleh Ketua Bahagian Kesihatan IPP TUDM, Kol (Dr) Saravanan a/l Annamalai. Beliau turut mencuba General Aviation Trainer II (GAT II) iaitu simulator asas bagi melatih juruterbang TUDM mengenalpasti kecelaruan di udara. Beliau turut ditunjukkan demonstrasi High Performance Human Centrifuge (HPHC) iaitu simulator khas yang digunakan untuk melatih juruterbang menghadapi daya tindakan graviti (daya G) ketika melakukan "manuver" sekaligus mengurangkan risiko kemalangan kepada juruterbang dan pesawat semasa latihan.

Beliau mengakhiri lawatan kerja dengan lawatan ke Air Warfare Centre. YB Menteri Kanan Pertahanan turut menyampaikan sumbangan kebajikan kepada anak istimewa warga TUDM MPOU, MPBU dan PU Subang.

Lawatan kerja ini adalah manifestasi amanat YB Menteri Kanan Pertahanan yang memfokuskan empat (4) hala tuju Kementerian iaitu:
1. Memperkasakan ATM dari segi aset dan persenjataan.
2. Mempertingkatkan sistem teknologi yang digunakan oleh ATM agar selari dengan perkembangan teknologi terkini.
3. Memperkasakan industri pertahanan agar Malaysia dapat menjadi sebuah negara yang kuat dalam industri pertahanan di rantau ini.
4. Memperkasakan aspek kesejahteraan anggota ATM dan kebajikan veteran ATM.

Lawatan kerja YB Menteri Kanan Pertahanan untuk mengetahui dengan lebih dekat cabaran-cabaran yang dihadapi oleh TUDM khususnya diharap dapat membawa perubahan baharu di dalam memperkasakan aset ketenteraan sebagai organisasi yang ampuh di dalam mempertahankan kedaulatan negara tercinta.
Lawatan kerja YB Menteri Kanan Pertahanan kali ini adalah lawatan kerja kedua ke atas TUDM selepas lawatan kerja ke PU Butterworth pada 20 Jun 2020.