![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUALA LUMPUR, 19 Jun 2025 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM mewakili Panglima Angkatan Tentera telah hadir ke Majlis Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera ke-59 yang dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pertahanan Malaysia merangkap Penaung Koperasi Tentera. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh barisan kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia serta lebih 1,000 orang anggota koperasi.
Koperasi Tentera terus mencatat prestasi kewangan yang cemerlang dengan pengumuman pembayaran dividen sebanyak 7.1 peratus bagi tahun kewangan 2024, melibatkan jumlah agihan RM125.3 juta kepada seramai 155,678 anggota.
Pada mesyuarat kali ini, turut dilancarkan secara rasmi ialah produk pembiayaan baharu Raees, sebuah platform pembiayaan patuh syariah yang diperkenalkan secara berperingkat kepada kakitangan kerajaan sebelum diperluas kepada orang awam.
Selaras dengan peranannya dalam menyokong ekosistem pertahanan negara, Koperasi Tentera meneruskan inisiatif Pembiayaan Kontrak khusus untuk kontraktor dan vendor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berurusan dengan Kementerian Pertahanan. Sehingga Mei 2025, jumlah keseluruhan kelulusan pembiayaan mencecah RM471 juta, merangkumi RM215 juta kepada penyedia perkhidmatan di bawah Kementerian Pertahanan dan RM256 juta kepada vendor dari pelbagai kementerian lain.
Transformasi digital koperasi kini dipertingkatkan dengan penekanan kepada pemerkasaan akses perkhidmatan secara dalam talian. Antara inisiatif utama ialah pembangunan sistem permohonan pembiayaan digital sepenuhnya (Digital Financing) yang dijangka menyediakan pengalaman yang lebih cekap, pantas dan mesra pengguna kepada anggota.
Di samping itu, produk Pembiayaan Peribadi Bai’ Inah Elham turut mencatat permintaan menggalakkan apabila merekodkan pembiayaan sebanyak RM11.66 juta dalam tempoh sebulan selepas dilancarkan pada Mac 2025. Produk ini ditawarkan dengan kadar keuntungan serendah 4.30 peratus, tempoh bayaran balik sehingga 120 bulan dan tanpa keperluan penjamin.
Sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-59, YB Menteri Pertahanan turut menyampaikan sijil dan hadiah penghargaan kepada penerima Anugerah Anggota Terlama, Skim Sumbangan Bakti Bantuan Perubatan serta Skim Insentif Kecemerlangan kepada anak-anak anggota Koperasi Tentera yang mencapai kejayaan dalam bidang akademik.