KUALA LUMPUR, 17 Sep 21 - Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato' Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM berserta beberapa pegawai kanan dan warga TUDM telah bersama-sama Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein; Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato' Sri Hj Afrendi bin Buang TUDM; kepimpinan Tentera Darat dan TLDM adalah di antara 250 jemaah termasuk warga ATM yang lain yang hadir hari ini ke Masjid Khalid Al Walid mengikut pematuhan SOP semasa fasa endemik bagi mendengar Khutbah Khas sempena Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia ke-88 dan menunaikan solat jumaat.
16 September 2021 merupakan tarikh keramat buat warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan seluruh warganegara Malaysia kerana berkongsi tarikh peristiwa penting iaitu Hari ATM dan Hari Malaysia.
Mengambil intipati teks khutbah khas yang disampaikan oleh Ketua Pengarah KAGAT, Mej Jen Hj Mohamad Azmi bin Wahab, ia menekankan kepada kepentingan menjaga kedaulatan tanah air. Jika dilihat dari segi maksud 'kedaulatan' bagi sesebuah negara itu, ia merujuk kepada suatu kuasa tertinggi yang dimiliki oleh sesebuah negara untuk membuat keputusan tentang hal-hal yang berkaitan dengan pentadbiran dan politik.
Maka, peranan rakyat amat penting dalam mempertahankan negara dan memperkasakan ketaatan yang tidak berbelah bahagi dalam membina negara bangsa yang utuh dan kukuh.
Tugas menjaga negara bukanlah hak eksklusif warga ATM semata-mata, namun rakyat juga perlu memainkan peranan dalam mempertahankan negara dan ianya bertepatan dengan tema sambutan Hari ATM Ke-88 pada tahun ini iaitu "Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama".
Ibrah dari sirah Baginda Rasul SAW ketika menghadapi peperangan Mu'tah perlu diambil perhatian. Apabila kesemua panglima-panglima tentera Islam yang bersilih ganti dalam menjunjung panji-panji Islam membuktikan bahawa betapa mereka gagah setia dan sedia berkorban dalam memartabatkan kedaulatan Islam.
Sikap sebegini yang ditonjolkan oleh para sahabat RA yang sepatutnya diterapkan dalam nilai budi sanubari warga ATM agar ianya menjadi azimat yang terbaik dalam memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.
Semoga tema "Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama" dihayati bersama dan dibuktikan oleh setiap warganegara Malaysia.