KEPRIHATINAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN BERANGKAT KE PROGRAM VAKSINASI COVID-19 PERINGKAT ATM DI KEM PERDANA SG. BESI

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

SUNGAI BESI, 16 Mac 21 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan bercemar duli berangkat ke Kem Perdana Sg. Besi pada hari ini untuk melihat proses pelaksanaan vaksinasi COVID-19 yang diberikan kepada warga ATM.

Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM turut bersama-sama Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM dan Panglima-Panglima Perkhidmatan lain menyambut keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Dato' Jamil, Kem Perdana Sg. Besi.

Penerimaan suntikan ini bagi melengkapkan Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat ATM dalam fasa pertama penerimaan vaksin berkenaan dan seterusnya menjayakan Program Imunisasi Peringkat Kebangsaan yang telah dilancarkan pada 24 Feb lalu.

Program Vaksinasi ATM di Kem Perdana Sungai Besi ini melibatkan 124 pegawai dan anggota dari ketiga-tiga perkhidmatan iaitu Tentera Darat, Laut dan Udara. Sehingga kini, keseluruhan warga ATM yang telah menerima suntikan vaksin adalah seramai 17,224.

Warga TUDM juga telah mendukung penuh usaha program Imunisasi COVID-19 bagi penerimaan vaksin Fasa 1 iaitu vaksin jenis Comirnaty Pfizer BioNtech.

Pelaksanaan Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat ATM bagi fasa pertama terbahagi kepada Fasa 1A dan 1B yang telah bermula pada 24 Feb lalu di mana Fasa 1A yang berakhir pada 7 Mac 21 mensasarkan semua Petugas Kesihatan dan Kumpulan Strategik ATM. Manakala Fasa 1B yang bermula 8 Mac hingga 30 April 21, mensasarkan kesemua warga ATM serta pasukan keselamatan dan penguatkuasaan lain di bawah pengoperasian National Task Force (NTF).

Keprihatinan yang ditunjukkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong umpama suntikan semangat kepada semua peringkat warga ATM sebagai petugas barisan hadapan. Seluruh warga TUDM khususnya, merafak sembah menjunjung kasih di atas keprihatinan KDYMM Tuanku.

Lindung Diri, Lindung Semua.