JEMAAH TERTINGGI BAKAT UDARA LAKSANAKAN LAWATAN KEBAJIKAN KE AKADEMI TENTERA UDARA

1 2 3
4 5 6

 

IPOH, 5 Mac 21 – Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Udara (JTBU), Puan Sri Norainy binti Shahar Alam telah melaksanakan lawatan kebajikan ke atas BAKAT Akademi Tentera Udara (ATU), Ipoh serentak dalam rangka lawatan kerja rasmi Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM ke ATU selama dua hari pada 4 dan 5 Mac 21. Turut menyertai lawatan kebajikan ini ialah ahli JTBU iaitu Puan Dr. Halina binti Harun, Puan Nooraini binti Abdul Mutalib, Puan Aliza binti Abdullah dan Puan Ros Hana binti Ariffin.

Ketibaan Puan Sri selaku Pengerusi JTBU di Rumah BAKAT ATU telah disambut oleh Pengerusi BAKAT ATU, Puan Mazilawati binti Musa; Timbalannya, Puan Norhalizah binti Abdul Khalip serta Ketua-ketua Biro BAKAT Udara akademi. Sepertimana amalan norma baharu, Puan Sri Norainy dan delegasi membuat saringan suhu badan terlebih dahulu sebaik ketibaannya. Puan Sri Norainy dan delegasi telah diberikan taklimat yang merangkumi aktiviti yang telah dan akan dilaksanakan oleh BAKAT akademi pada tahun ini.

Dalam rangka lawatan rasmi ini, Puan Sri Norainy dan delegasi telah mengadakan sesi dialog bersama ahli-ahli BAKAT ATU sebagai interaksi perkongsian pandangan. Selain itu, turut menyampaikan maklumat-maklumat berkaitan kebajikan dan program-program BAKAT Udara serta perancangan aktiviti BAKAT secara keseluruhan yang terus memfokuskan kepada aspek kebajikan ahli-ahlinya, keluarga serta anak-anak mereka serta menjadikan institusi BAKAT Udara sebagai platform terbaik yang mengambil berat aspek kebajikan keluarga warga TUDM. Ia juga sejajar mendukung teras kelapan di dalam perintah ulung Panglima Tentera Udara di dalam memperkasakan fungsi BAKAT Udara secara holistik.

Pada hari kedua lawatan, Pengerusi JTBU dan delegasi membuat lawatan ke RKAT Desa Sri Angkasa, Lahat. Selain daripada rumah BAKAT Udara yang berada di dalam ATU, terdapat sebuah lagi rumah BAKAT Udara yang baharu terletak di dalam RKAT Desa Sri Angkasa. Dengan adanya rumah BAKAT Udara kedua ini, maka dapatlah memudahkan semua ahli BAKAT Udara yang tinggal di rumah keluarga tersebut untuk hadir dan memeriahkan lagi semua aktiviti yang akan dilaksanakan kelak serta mendapat sambutan yang lebih menggalakkan dan sokongan padu daripada semua ahli BAKAT akademi.

Menitikberatkan kebajikan keluarga warga TUDM khususnya, Puan Sri Norainy selaku Pengerusi JTBU telah menyampaikan sumbangan kebajikan kepada tujuh (7) orang anak anggota yang mengidap sakit kronik dan tujuh (7) orang anak istimewa di dalam bentuk barangan dan wang tunai. Selain menzahirkan keprihatinan JTBU serta sebagai sokongan semangat (morale support), sumbangan kebajikan yang dihulurkan tersebut diharap dapat membantu mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh mereka.

Mengakhiri lawatan dua (2) hari di BAKAT ATU, Pengerusi JTBU dan delegasi turut melihat hasil seni pameran dan gubahan kraftangan yang dihasilkan sendiri oleh BAKAT ATU dan merakamkan gambar kenangan. Sesungguhnya kehadiran Pengerusi JTBU dan delegasi dapat memberi suntikan dorongan semangat agar BAKAT ATU Ipoh terus kekal relevan dalam menjaga kebajikan ahli-ahlinya.