SUNGAI BESI, 8 Januari 2024 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah berkenan bercemar duli ke Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI bertempat di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi. Turut berangkat sama adalah KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Istiadat ini merupakan satu istiadat penuh tradisi ketenteraan yang dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagi satu penghargaan kepada KDYMM SPB YDP Agong selaku pemerintah Tertinggi ATM dan KDYMM SPB RP Agong sempena tamat tempoh pemerintahan Baginda berdua sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong selama lima (5) tahun bermula 2019 hingga 2024. Ianya juga merupakan satu tanda penghormatan serta ketulusan hati warga ATM merafak sembah menjunjung setingg-tinggi kasih kepada KDYMM SPB YDP Agong dan KDYMM SPB RP Agong.
Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari ini terdiri daripada dua (2) Kontinjen iaitu Kontinjen Satu (Bersama Panji-Panji SPB YDP Agong) dan Kontinjen Dua (Tanpa Panji-Panji SPB YDP Agong) iaitu 10 Detasemen dengan jumlah 40 pegawai dan 888 anggota Lain-Lain Pangkat yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Azamri bin Abdullah manakala Penolong Ketua Perbarisan ialah Mejar Mohd Khairy bin Hasimy dan Ajutan Perbarisan, Kapten Muhammad Syafiq bin Zainordin TUDM. Detasemen terdiri 10 Detasemen melibatkan enam (6) detasemen TDM, dua (2) detasemen TLDM dan dua (2) detasemen TUDM.
Kontinjen Satu (Dengan Panji-Panji SPB YDP Agong) melibatkan lima (5) Detasemen iaitu elemen Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diketuai oleh Mejar Nurul Fauzan bin Md Sabri dari Batalion Pertama RAMD; elemen Rejimen Renjer Diraja (RRD) diketuai oleh Mejar Muhammad Saiful Islam bin Ahmad Shahimi dari Batalion Pertama RRD; elemen Kor Armor Diraja (KAD) diketuai oleh Mejar George Tan Hong Shen dari Rejimen Kedua KAD; perkhidmatan TLDM diketuai oleh Leftenan Komander Mohd Suhaimi bin Marzuki TLDM dan perkhidmatan TUDM diketuai oleh Mejar Muhammad Hanif bin Hamdi TUDM. Sempena istiadat perbarisan ini, sebanyak (5) Panji-Panji KDYMM SPB YDP Agong diarak oleh kontinjen-kontinjen dari ketiga-tiga perkhidmatan ATM iaitu Panji-Panji RAMD, Panji-Panji RRD, Panji-Panji KAD, Panji-Panji TLDM dan Panji-Panji TUDM. Bagi Panji-panji TUDM, Pegawai Pembawa Panji-Panji adalah Leftenan Muhammad Nur Iman bin Mohd Kifli TUDM manakala, Sarjan Mejar Rejimen adalah Pegawai Waran Udara I Iskandar Mirza bin Husin.
Manakala Kontinjen Dua (Tanpa Panji-Panji SPB YDP Agong) melibatkan lima (5) Detasemen iaitu elemen Tempur Tentera Darat diketuai oleh Mejar Mohd Zulkifli bin Haji Subari dari Batalion Ke-12 RAMD (Mekanise); elemen Bantuan Tempur Tentera Darat diketuai oleh Mejar Fairulzismi bin Jaljiz dari Rejimen Pertama Artileri Diraja (Para); elemen Bantuan Khidmat Tentera Darat diketuai oleh Mejar Muhamad Khairul Hakim bin Katnin dari Batalion Ke-72 Kor Perkhidmatan Diraja; perkhidmatan TLDM diketuai oleh Leftenan Komander Wan Mohd Adham Rafa’i bin Wan Mohamad Azam TLDM dan perkhidmatan TUDM diketuai oleh Mejar Wan Mohd Irwan bin Wan Ahmad Shukri TUDM.
Keseluruhan Perbarisan pada pagi ini diiringi oleh gabungan Pancaragam Pusat Angkatan Tentera Malaysia di bawah pimpinan Leftenan (DOM) Muhamad Fauzee bin Japar, dibantu oleh Sarjan Mejar Pancaragam iaitu Pegawai Waran II Aliff Farhan bin Hashim, Pegawai Waran I PGM Iewan Iezanie bin Johari, Flait Sarjan Mohd Zamree bin Mohd Zakaria dan Staf Sarjan Farziana binti Adam, manakala Drum Major ialah Pegawai Waran I PGM Azumie bin Zainal. Perbarisan turut melibatkan Pengawal Medan dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan yang bertindak mengawal keselamatan keseluruhan Padang Kawad sepanjang istiadat perbarisan ini berlangsung.
Terdahulu ketibaan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Seri Mohammad bin Ab Rahman dan isteri disambut oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dan isteri, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan bersama-sama Panglima Tentera Darat; Jeneral Dato' Muhammad Hafizuddeain bin Jantan dan Panglima Tentera Laut; Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob, yang bersama isteri masing-masing. Panglima Angkatan Tentera telah mengambil tabik hormat daripada Kontinjen Perbarisan. Kemudiannya diikuti ketibaan Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin yang menerima tabik hormat.
Sebaik ketibaan KDYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM SPB RP Agong, Baginda menerima Hormat Diraja. Istiadat perbarisan ini turut menyaksikan terbang lintas hormat lima (5) buah pesawat helikopter ATM yang diketuai oleh juruterbang Mejar Ahmad Farhan bin Ahmad TUDM dari No 10 Skuadron didahului dengan helikopter EC 725 AP yang membawa Jalur Gemilang, helikopter EC 725 AP yang membawa Bendera ATM, helikopter A 109 Tentera Darat Malaysia (TDM) membawa bendera TDM, helikopter AW 139 Helikopter Operasi Maritim (HOM) yang membawa bendera TLDM dan helikopter EC 725 AP yang membawa Bendera TUDM. Terbang lintas kali ini juga mencatat sejarah tersendiri, buat pertama kali helikopter AW 139 HOM terlibat dalam terbang lintas hormat membawa bendera TLDM.
Seterusnya, KDYMM SPB YDP Agong telah memeriksa perbarisan menggunakan Kenderaan Pemeriksa, Toyota Cygnus. Kemudiannya diikuti dengan kontinjen melaksanakan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat jalan sebelum mara menghadap ke hadapan KDYMM SPB YDP Agong. Baginda Tuanku turut berkenan menzahirkan Titah Ucapan Terakhir kepada seluruh warga ATM dan penonton lain yang hadir. Setelah itu, seluruh warga ATM serta yang hadir turut bersama-sama menadah tangan mengaminkan bacaan doa yang dipimpin oleh Mejar Jeneral Dato’ Hj Mohd Rashidi Bin Bujai, Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera bagi memohon kesejahteraan dan limpah kurnia Allah SWT ke atas Baginda Tuanku berdua.
Selesai Ketua Perbarisan melapor, satu persembahan khas yang julung kali diadakan berbanding istiadat sama yang terdahulu dipersembahkan kepada KDYMM SPB YDP Agong. Persembahan Khas Gabungan Pancaragam ATM terdiri daripada 238 wira dan 32 srikandi yang melibatkan Gabungan Pancaragam Pusat ATM bersama-sama Drumline TDM dan Gabungan Brassband TD. Turut mencuri perhatian ialah deklamasi sajak “Daulat Tuanku”yang dilantunkan oleh pendeklamasi sajak iaitu Sarjan Siti Nur Aini binti Jasni dari ‘’Team Acrobatic Army Red Warrior” dan Laskar Udara I Abdullah bin Rosli, anggota TUDM dari Pangkalan Udara Gong Kedak diiringi pemuzik Sarjan Maryani binti Mohamad Supiah dari Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD) yang bermain Violin, Koperal Udara Mohd Shafiq Affendy bin Zakaria dari Pancaragam Kolej Tentera Udara yang bermain Saxophone, Laskar Kanan II TNL Mohamed Affendy bin Mohamed Razali dari Badan Kesenian TLDM, Markas Pangkalan TLDM Lumut yang bermain Violin dan Koperal Mohd Masaidil bin Seman dari BKTD yang bermain Flute. Akhir persembahan khas ditutup dengan nyanyian lagu “Setia” yang dikumandangkan beramai-ramai bersama penonton yang hadir menzahirkan taat setia warga ATM yang tidak berbelah bahagi kepada KDYMM SPB YDP Agong.
Acara bersejarah ini yang disiarkan secara langsung di TV 1 RTM turut dihadiri dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham bin Ishak; Pegawai-Pegawai Kanan ATM serta jemputan tetamu kenamaan dari kedutaan dan penasihat pertahanan luar negara.
Suasana di medan perbarisan pada pagi ini turut diserikan lagi dengan peragaan statik aset pertahanan daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia iaitu PT-91M Pendekar, AV 4 Lipan Bara, AV8 8x8 Gempita, ULB Astros II, Treler pembawa Exocet 40 MM Missile TLDM dan Treler pembawa Peluru Berpandu TUDM.
Selesai acara di medan perbarisan, KDYMM SPB YDP Agong dan KDYMM SPB RP Agong berangkat ke Wisma Perwira Tentera Darat bagi Majlis Santapan bersama warga ATM sebelum diarak keluar (Send Off) menaiki kereta kuda dengan diiringi (Street Lining) seluruh warga ATM yang hadir sebagai simbolik salam perpisahan terakhir warga ATM atas tamatnya tempoh rasmi perkhidmatan Baginda berdua sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke-16 pada penghujung Januari tahun ini. Menjunjung Kasih Tuanku.
#ATMSentiasaBersepadu
#SentiasaDiAngkasaRaya