KUALA LUMPUR, 8 Sep 22 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) melalui perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Istiadat yang berlangsung di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kuala Lumpur disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein. Istiadat dilaksanakan dalam dua sesi iaitu pada 6 dan 8 September 2022.
Turut hadir ke istiadat penganugerahan ini adalah Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz; Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany.
Penganugerahan Pingat DKAT ini dikurniakan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat berkelayakan berdasarkan sifat kepahlawanan yang teristimewa dalam menjalankan kewajiban yang ditunjukkan oleh anggota-anggota ATM. Sebanyak lima Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera disenaraikan khusus bagi ATM yang terdiri daripada Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT), Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT), Pahlawan Angkatan Tentera (PAT), Kesatria Angkatan Tentera (KAT) dan Bentara Angkatan Tentera (BAT).
Istiadat Penganugerahan DKAT kali ini juga menyaksikan empat (4) pangkat Darjah Kebesaran dikurniakan seperti pecahan berikut:
a. Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) – 14 penerima.
b. Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) – 134 penerima.
c. Kesatria Angkatan Tentera (KAT) – 433 penerima.
d. Bentara Angkatan Tentera (BAT) – 410 penerima.
Sebelum ini, seramai 209 pegawai ATM telah dikurniakan DKAT oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dalam satu istiadat yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Negara pada 29 November 2021 lalu. Untuk rekod, jumlah keseluruhan penerima DKAT bagi kedua-dua tahun berkenaan adalah seramai 1,200 penerima.
Tahniah kepada 227 penerima penganugerahan pingat DKAT bagi pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk tahun 2020 dan 2021.