KUCHING, 16 Ogos 21- Helikopter EC 725 AP milik TUDM telah selesai menyempurnakan penghantaran mayat anggota TUDM yang terkorban di dalam insiden kejadian tembakan pada pagi 13 Ogos 21 yang diterbangkan ke Sarikei pada jam 8.10 pagi.
Mayat Mendiang LUK Nesly Anak Nabau yang berasal dari Sibu selamat tiba di kediaman isterinya, Puan Jessica di Sarikei pada lebih kurang jam 9.30 pagi dan akan diberikan penghormatan terakhir oleh ahli keluarga beliau sebelum disemadikan di Nirvana Memorial Park Sibu pada 18 Ogos 21. Urusan pengkebumian diuruskan oleh Pangkalan Udara Kuching dengan bantuan pihak hospital dan pihak pengurusan mayat Nirvana Memorial Park Sibu.
TUDM merakamkan penghargaan dan terima kasih atas bantuan dan kerjasama pelbagai pihak termasuk PDRM, Hospital Umum Sarawak, pihak pengurusan Nirvana Memorial Park Sibu serta semua pihak yang membantu melancarkan segala urusan mendiang. Seluruh warga TUDM mengucapkan takziah kepada waris dan keluarga Mendiang LUK Nesly Anak Nabau dan semoga mereka diberikan ketabahan menghadapi ujian yang menimpa.