KUALA LUMPUR, 5 Dis 22 – Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Indera Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM mewakili Panglima Tentera Udara telah menyambut kedatangan Menteri Pertahanan yang baharu, Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan yang memulakan hari pertama bertugas di Wisma Pertahanan hari ini.
Turut hadir bagi menyambut Menteri Pertahanan ialah Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz; Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain serta pegawai dan anggota LLP ATM dan kakitangan awam yang bertugas di Kementerian Pertahanan.
Sebaik ketibaan Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan di perkarangan Wisma Pertahanan kira-kira jam 3.00 petang, beliau telah menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Pertama RAMD. Beliau kemudiannya diperkenalkan dengan pegawai-pegawai kanan TUDM dan ATM yang turut menyambut hari pertama beliau sebagai Menteri Pertahanan.
Beliau kemudiannya dipersembahkan dengan taklimat berkaitan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia. Beliau juga meluangkan masa menyantuni warga Kementerian Pertahanan selepas selesai taklimat sebelum meneruskan Sidang Media. Di dalam Sidang Media, beliau selaku Menteri Pertahanan menyatakan sejajar dengan peranan dan fungsi strategik Kementerian, beliau komited untuk berkhidmat bersama-sama dengan warga kerja Kementerian dan seluruh anggota ATM.
Seluruh warga TUDM turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan Selamat Bertugas kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan di atas pelantikan sebagai Menteri Pertahanan yang baharu.