HARI PERTAMA MULA BERTUGAS JEN DATO’ SRI HJ MUHAMAD NORAZLAN BIN ARIS TUDM SEBAGAI PANGLIMA TENTERA UDARA

1 2 7
8 9 14
15 16 17
18 19 20

 

KUALA LUMPUR, 30 Jun 2025 - Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM secara rasminya telah memulakan tugas sebagai Panglima Tentera Udara ke-21 pada hari ini. Majlis dimulakan dengan ketibaan beliau di Wisma Pertahanan dan disambut dengan penuh istiadat ketenteraan, menandakan permulaan rasmi era baharu kepimpinan beliau dalam menerajui Tentera Udara Diraja Malaysia.

Sebaik ketibaan, beliau telah disambut oleh Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM dan seterusnya menerima tabik hormat serta memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang mengiringi Panji-Panji No. 12 Skuadron daripada Pasukan Istiadat Kawalan Kehormatan Utama TUDM di Dataran Wisma Pertahanan.
Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Pasukan Istiadat Kawalan Kehormatan Utama (PI KKU) TUDM terdiri daripada empat (4) pegawai dan 137 anggota Lain-lain Pangkat, diketuai oleh Mejar Mohamed Adnan Fareed bin Mohamed Akbar TUDM selaku Ketua Kawalan dan Kapten Ts. Muhammad Syahmin bin Sufendi TUDM selaku Penolong Ketua Kawalan; manakala Kapten Muhammad Yusuf bin Zulkifli TUDM, Pegawai Pembawa Panji-Panji No 12 Skn dan diiringi Pancaragam Pusat TUDM dibawah pimpinan Kapten Sabri bin Hamil TUDM.

Selesai menerima tabik hormat, Jeneral Dato' Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM disambut oleh barisan kepimpinan tertinggi serta pegawai-pegawai kanan TUDM yang bertugas di Wisma Pertahanan. Seterusnya, beliau dengan rasminya memasuki Pejabat Panglima Tentera Udara dan disambut oleh pegawai-pegawai kanan bersama staf pejabat. Majlis turut disempurnakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Pengarah Agama MTU, Kolonel Salahuddin bin Safeie bagi memohon keberkatan dan petunjuk daripada Allah SWT dalam melaksanakan amanah serta permulaan tanggungjawab yang baharu.

Sekali lagi, warga TUDM merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Jeneral Dato’ Sri atas pelantikan beliau sebagai Panglima Tentera Udara ke-21. Semoga di bawah teraju kepimpinan beliau, TUDM akan terus maju sebagai sebuah kuasa udara yang unggul dan berdaya saing di persada antarabangsa selaras dengan aspirasi Pelan Strategik CAP55.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer

AGENSI DALAMAN