EKSESAIS UDARA SHAKTI 2022 PERKUKUH JALINAN KERJASAMA TUDM DAN IAF

1 2 3
4 6 5

 

KUANTAN, 16 Ogos 22 - Eksesais Udara Shakti 2022 (US 22) telah melabuhkan tirainya hari ini. Eksesais yang berlangsung selama empat (4) hari, telah bermula sejak 13 hingga 16 Ogos 2022 bertempat di Pangkalan Udara Kuantan. Eksesais US 22 merupakan sejarah yang terakam buat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Indian Air Force (IAF) kerana pelaksanaan eksesais ini merupakan julung kalinya diadakan. Pelaksanaan eksesais bersama ini adalah bertujuan bagi mengukuhkan hubungan profesional di antara TUDM dan IAF melalui latihan 'Field Training Exercises' (FTX) serta 'Subject Matter Expert Exchange' (SMEE).

Secara keseluruhan, eksesais ini melibatkan seramai 200 orang peserta daripada TUDM dan IAF serta empat (4) buah pesawat Sukhoi-30MKI dan dua (2) buah pesawat C17 milik IAF manakala empat (4) buah pesawat Sukhoi-30MKM dan sebuah (1) pesawat A400M milik TUDM.

Turut mengisi program di dalam eksesais ini adalah 'Civil-Military Co-operation' (CIMIC) yang melibatkan komuniti tempatan iaitu pelajar Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tentera Kuantan telah dipilih. Para pelajar telah diberikan taklimat motivasi yang disampaikan oleh Lt Kol Goh Keng Loon TUDM. Malah para pelajar SK Pengkalan Tentera Kuantan juga diberi peluang melihat di hadapan mata iaitu pesawat-pesawat milik TUDM dan IAF seperti pesawat Sukhoi-30MKM, pesawat Sukhoi-30MKI serta pesawat C17 sebagai pendedahan kepada mereka di samping menyuntik semangat patriotisme dan sebagai motivasi kepada mereka.

7 8 9
10 11 12
13 14 15

 

Pada hari terakhir ini, Majlis Penutup Eksesais Udara Shakti 22 telah disempurnakan oleh Pengarah Eksesais, Kol Razali bin Ahmad Jumali TUDM. Turut hadir di majlis penutup ini adalah Pemangku Komander Pangkalan, Kol Zulkefli bin Hj Samsu Hadi TUDM; Pegawai Memerintah No 12 Skn, Lt Kol Mohd Noraihan bin Abdul Karim TUDM serta Pegawai Eksekutif Pangkalan.

Dalam pada itu ucapan penutup telah disampaikan oleh Team Leader IAF, Group Captain Yeshpal Singh Negi. Beliau telah menyatakan kekaguman terhadap tahap profesional yang tinggi yang ditunjukkan oleh para perwira TUDM terhadap Operasi dan Pengurusan Eksesais, dan semua ini telah menjadi "key takeaway" beliau apabila kembali ke negara beliau sebagai suatu tambah nilai untuk pelaksanaan operasi dan eksesais bersama kelak.

Di majlis penutup ini juga, Pengarah Eksesais turut menyampaikan ucapan penghargaan dan tahniah buat semua peserta TUDM dan IAF dalam melaksanakan persiapan serta pelaksanaan eksesais yang dirancang. Beliau juga berharap agar hubungan kerjasama di antara TUDM dan IAF sentiasa berada di tahap yang baik dan dikekalkan. Empat hari Eks US 22 TUDM dan IAF sesungguhnya telah dimanfaatkan oleh kedua-dua angkatan udara. Perkongsian ilmu serta pengalaman yang dikaut adalah nilai yang berharga kepada semua peserta. Di akhir ucapannya, beliau turut berharap agar semua peserta eksesais khususnya IAF sentiasa dalam kesihatan yang baik serta selamat sampai ke destinasi seterusnya bagi Eksesais yang telah dirancang dan selamat pulang ke India.