KUALA LUMPUR, 29 Sep 23 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah hadir menyambut kedatangan YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak yang memulakan tugas secara rasmi sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan yang baharu pada hari ini menggantikan YBhg. Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz yang telah bersara pada 31 Mei 23 lalu bertempat di perkarangan Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur.
Ketibaan YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak telah dimulakan dengan mengambil tabik hormat dan menerima Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada 3 pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).
Turut hadir bagi menyambut Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan ialah Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman; Panglima Tentera Darat, Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob; Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Seri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM serta pegawai dan anggota LLP ATM dan kakitangan awam yang bertugas di Kementerian Pertahanan.
Seluruh warga TUDM turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan Selamat Bertugas kepada YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan yang baharu.