BUTTERWORTH, 12 November 2022 – Civil Military Cooperation Eksesais ELANGAROO 2022 & Eksesais PARADISE 9/22 (CIMIC ELANGAROO 22/FTX PARADISE 9/22) telah menjemput dan menyantuni pelajar-pelajar dari tiga buah sekolah yang berdekatan ke Pangkalan Udara Butterworth bagi Program CIMIC pada kali ini bagi mengeratkan lagi hubungan tentera dan orang awam. Para pelajar tersebut adalah daripada Sekolah Kebangsaan Taman Senangan, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Li Hwa dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Onn.
Objektif utama program ini adalah untuk memberi kefahaman mengenai eksesais dua hala (bilateral exercise) di antara TUDM dan RAAF serta memberi motivasi kepada pelajar sekolah yang disampaikan oleh Lt Kol Goh Keng Loon TUDM dalam tiga (3) bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin). Program ini turut bertujuan memberi motivasi kepada pelajar berhubung bidang yang akan diceburi, memupuk semangat patriotik dan juga memahami tugasan harian anggota tentera khususnya TUDM dan amnya Angkatan Tentera Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta.
Dalam pada itu, Co- Exercise Director dari kedua-dua angkatan udara iaitu Kol Razali bin Ahmad Jumali TUDM dan Group Captain Ravinder Singh RAAF telah menyampaikan taklimat mengenai eksesais ELANGAROO 22 yang dijalankan sebagai satu usaha mengukuhkan lagi jalinan ketenteraan antara Malaysia dan Australia serta Eksesais PARADISE 9/22. Mereka juga memberi semangat dan berkongsi usaha-usaha motivasi kepada para pelajar.
Para pelajar dan guru turut dibawa melawat ke pameran statik pesawat Hawk, F/A-18D dan helikopter AW 139 dan juga pesawat tercanggih F-35A milik RAAF di Storm Shelter No 15 Skuadron. Para pelajar yang teruja tidak melepaskan peluang menyaksikan pesawat F/A-18D dan Hawk berlepas untuk misi harian yang ditugaskan. Hadir bersama pada Program CIMIC ini adalah Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brig Jen Norli Hisham bin Alwi TUDM.
Semoga usaha-usaha program CIMIC ini diteruskan sebagai memberi kesedaran dan pendedahan awal kepada generasi muda khususnya di dalam menanam jati diri serta semangat cintakan tanah air melalui pengenalan kepada tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada Angkatan Tentera Malaysia di dalam menjaga kedaulatan negara. Di dalam masa yang sama mereka melihat sendiri dan merasai pengalaman bersama TUDM yang merupakan pengalaman yang akan menjadi kenangan indah dan dikongsikan bersama rakan-rakan mereka yang lain.