IPOH, 2 Sept 23 - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini telah melaksanakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Udara (PjM U) Siri 66/23 bertempat di Padang Kawad Akademi Tentera Udara (ATU), Ipoh. Upacara perbarisan ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM yang turut diiringi oleh isteri, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan. Turut serta menyaksikan perbarisan ialah Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM dan isteri, Datin Dr Halina binti Haron; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM dan isteri, Datin Lynette binti Tan Sri Mohamed serta Pegawai-pegawai Kanan TUDM.
Perbarisan hari ini terdiri dari keseluruhan anggota PjM U Siri 66/23 seramai 387 PjM U terbahagi kepada tiga (3) iaitu Flait Alpha, Bravo dan Charlie diketuai oleh PjM U Raden Ahmad Shaqir Bin Raden Jimi Ezman serta Ajutan Perbarisan, PjM U Muhammad Azmin Hakimi Bin Mohd Adzmi. Perbarisan telah diiringi oleh Pancaragam Gabungan ATU dan Kolej Tentera Udara (KTU) di bawah pimpinan Lt Muhamad Haniff bin Che Razak TUDM.
Sejurus ketibaan, Panglima Tentera Udara yang menerima Tabik Hormat kemudiannya dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan oleh Panglima Tentera Udara. Perbarisan diteruskan dengan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat. Panglima Tentera Udara yang diiringi oleh Komandan Akademi Tentera Udara, Kolonel Rafiddee bin Dollah TUDM telah menyempurnakan penyampaian anugerah kepada PjM U bagi kategori Anugerah Terbaik Keseluruhan PjM U Siri 66/23, Anugerah Akademik Terbaik dan Anugerah Flait Terbaik Keseluruhan.
Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya berpesan agar kesemua PjM U agar sentiasa gigih berusaha untuk meningkatkan tahap kepakaran, kompetensi dan pengetahuan demi memenuhi aspirasi untuk menjadi seorang anggota TUDM yang cemerlang dan profesional dalam bidang kepakaran masing-masing. Sikap positif dan komitmen yang tinggi dalam mengutamakan kepentingan perkhidmatan dan negara melebihi kepentingan peribadi merupakan kriteria yang paling utama dalam mendokong kejayaan dan kecemerlangan organisasi.
Beliau turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara, semua pegawai dan barisan jurulatih serta staf Akademi Tentera Udara yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan latihan PjM U Siri 66/2023 ini. Tidak lupa juga kepada para ibu bapa dan keluarga PjM U, syabas dan tahniah diucapkan atas sokongan dan dorongan berterusan yang diberikan kepada PjM U yang berjaya mengharungi dan menjalani latihan asas ketenteraan dengan penuh kesabaran dan kecekalan.
Selesai perbarisan, upacara dimeriahkan dengan pelbagai persembahan menarik yang dibawa khas untuk tontonan tetamu yang hadir seperti Pertunjukan Payung Terjun daripada Pasukan Khas TUDM (PASKAU), persembahan daripada Pancaragam Gabungan ATU dan Pancaragam KTU, persembahan Tempur Tanpa Senjata (TTS) dan Senaman Perang serta persembahan Gimnastik D'Fearless Hawk yang terdiri daripada PjM U. Selain itu, turut diadakan pameran dan jualan daripada pelbagai agensi.
Bagi kumpulan PjM U Siri 66/23, mereka telah memulakan latihan pada 6 Mac hingga 8 September iaitu latihan asas ketenteraan selama 24 minggu. Mereka melalui tiga (3) fasa latihan iaitu Fasa Pertama, Latihan Asas Ketenteraan; Fasa Kedua, Pelajaran serta Akademik dan Fasa Ketiga iaitu Latihan, Ujian Praktikal serta Pembentukan Sahsiah. Berbekalkan semangat dan kecekalan, akhirnya seramai 387 PjM U telah berjaya menamatkan latihan dengan jayanya. Selepas menamatkan latihan ini, mereka akan ditempatkan dalam Ketukangan/Tred masing-masing di pasukan-pasukan yang telah ditetapkan. Mereka kemudiannya akan menghadiri kursus asas Ketukangan/Tred agar memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran dan sebagai permulaan karier sebagai seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia.