365 ORANG PERAJURIT MUDA UDARA SIRI 64/21 BERJAYA MENAMATKAN LATIHAN ASAS KETENTERAAN

1 2 3
4 5 6

 

IPOH, 14 Mei 2022 - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini telah melaksanakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Udara (PjM U) Siri 64/21 bertempat di Padang Kawad Akademi Tentera Udara (ATU), Ipoh. Upacara perbarisan ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM. Turut hadir ke perbarisan ini isteri Panglima Tentera Udara, Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan; Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato' Indera Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM dan isteri, Datin Indera Dr. Hajah Sorayah binti Sidek; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM dan isteri, Datin Indera Wan Nor Sazlina binti Wan Abd Shukor; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato' Mohd Shahada bin Ismail TUDM dan isteri, Datin Dr Halina binti Harun serta Pegawai-pegawai Kanan TUDM.

Perbarisan yang terdiri daripada 365 orang PjM U terbahagi kepada 3 Flait (Alpha, Bravo dan Charlie) diketuai oleh PjM U Muhammad Syakir Irfan bin Mohammad Hafiz manakala Ajutan Perbarisan, PjM U Mohamad Afiq bin Hamidi. Perbarisan telah diiringi oleh Pancaragam Gabungan ATU dan Kolej Tentera Udara (KTU) di bawah pimpinan Lt Muhamad Haniff bin Che Razak TUDM.

7 8 9
10 11 12

 

Sejurus ketibaan Panglima Tentera Udara yang menerima Tabik Hormat, upacara perbarisan dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan oleh Panglima Tentera Udara. Perbarisan kemudiannya diteruskan dengan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat. Panglima Tentera Udara yang diiringi oleh Komandan Akademi Tentera Udara, Kolonel Junairi bin Baharom TUDM telah menyempurnakan penyampaian anugerah kepada PjM U mengikut beberapa kategori iaitu:

1. AnugerahTerbaik Keseluruhan PjM U Siri 64/21 telah disandang oleh PjM U Mohammad Syakir Irfan bin Mohamad Hafiz.
2. Anugerah Akademik
Terbaik
pula telah disandang oleh PjM U Muhammad Najib bin Derani.
3. Anugerah Penembak
Terbaik
disandang oleh PjM U Mohamad Faizal bin Ibrahim.
4. Anugerah Flait
Terbaik
Keseluruhan yang disandang oleh Flait Bravo di mana Flait ini telah menjadi johan di dalam beberapa pertandingan.

13 14 15
16 17 18

 

Pada perbarisan kali ini, ia mencipta sejarah yang tersendiri setelah dua (2) siri acara perbarisan tamat latihan dilaksanakan secara tertutup berikutan pandemik Covid-19, namun bagi PjM Udara Siri 64/2021, tempoh latihan yang memasuki fasa Endemik Covid-19 bermula 1 Mei 2022 telah memberi peluang kepada ibu,bapa serta penjaga dan ahli keluarga untuk hadir menyaksikan sendiri perbarisan tamat latihan.

Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua jurulatih dan staf pusat latihan termasuklah ibu bapa yang sentiasa mendoakan dan merestui perjuangan para PjM U sehingga berjaya menamatkan latihan. Beliau turut mengingatkan kepada PjM U agar sentiasa menjaga maruah dan disiplin diri, imej dan nama baik perkhidmatan. Beliau turut menegaskan agar PjM U menjauhkan diri daripada terlibat dengan najis dadah, pencemaran nilai integriti, melibatkan diri dengan kumpulan ekstremis serta terlibat dalam pelanggaran tatatertib. Panglima Tentera Udara turut menyeru semua PjM U agar meningkatkan ilmu pengetahuan dan kepakaran agar ianya selari dengan perkembangan teknologi semasa. Hal ini juga bertepatan dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Udara Ke-20 dalam Tonggak ke-3 iaitu Pemerkasaan dan Pengupayaan Warga Udara dalam melahirkan modal insan yang berwibawa dan profesional.

19 20 21
22 23 24

 

Selesai perbarisan, upacara yang dihadiri sekitar 1590 jemputan dimeriahkan dengan pelbagai persembahan menarik yang dibawa khas seperti Pertunjukan Payung Terjun daripada Pasukan Khas TUDM (PASKAU), Kawad Formasi dan nyanyian daripada Pancaragam Gabungan ATU dan Pancaragam KTU, persembahan Senaman Perang dan persembahan Gimnastik D'Fearless Hawk yang terdiri daripada PjM U. Selain itu, turut diadakan pameran dan jualan daripada pelbagai agensi.

Untuk rekod PjM U Siri 64/21, sejarah latihan mereka bermula setelah mengangkat sumpah pada tanggal 27 Okt 2021 seterusnya menjalani latihan asas ketenteraan selama 24 minggu. Kesemua mereka telah melalui tiga (3) fasa latihan iaitu Fasa Pertama, Latihan Asas Ketenteraan; Fasa Kedua, Pelajaran serta Akademik dan Fasa Ketiga iaitu Latihan, Ujian Praktikal serta Pembentukan Sahsiah setiap pelatih. Berbekalkan semangat dan kecekalan, akhirnya kesemua PjM U yang mengikuti latihan asas ini telah berjaya menamatkan latihan dengan jayanya. Kesemua PjM U ini seterusnya akan ditempatkan di pasukan-pasukan yang telah ditetapkan. Mereka kemudiannya akan menghadiri kursus asas ketukangan bagi memantapkan pengetahuan mengikut ketukangan masing-masing dalam memulakan langkah pertama kerjaya sebagai seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia.

#wargaudara
#SentiasaDiAngkasaRaya