Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah menghadiri Egypt International Airshow 2024 yang berlangsung bermula dari 3 hingga 5 September 2024 bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa El Alamein, Mesir. Lawatan Panglima Tentera Udara turut disertai oleh Brigedier Jeneral Ruszali bin Zakaria TUDM, Ketua Pengarah DGTA selaku pegawai pengiring ke acara antarabangsa ini.
Egypt Air Show 2024 merupakan salah satu pameran aeroangkasa terbesar di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA). Acara ini menyaksikan kehadiran pelbagai wakil dari negara-negara maju dalam teknologi ketenteraan dan aeroangkasa seperti Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, dan China. Pameran ini merupakan platform di mana negara-negara berkongsi teknologi terkini dan inovasi dalam bidang pertahanan udara dan ruang angkasa.
Pengisian program Panglima Tentera Udara dimanfaatkan sepenuhnya terutama ke arah memperkukuhkan hubungan kerjasama antarabangsa dengan negara-negara peserta, menilai teknologi baharu yang berpotensi digunakan dalam mempertahankan ruang udara negara dan mempromosikan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025. Pada hari pertama, Panglima Tentera Udara telah menghadiri Majlis Pembukaan yang dirasmikan oleh Presiden Mesir, Presiden Abdel Fattah Saeed Hussein Khalil Al-Sisi.
Beliau kemudiaannya telah mengadakan kunjungan hormat kepada rakan sejawatnya Air Marshal Mahmoud Foaad Abdel Gawad, Commander Egyptian Air Force. Pertemuan ini memberi peluang kepada kedua-dua Pemerintah Angkatan Udara untuk bertukar pandangan dalam bidang aeroangkasa serta peluang kerjasama dalam ketenteraan bagi mengukuhkan lagi hubungan diplomasi pertahanan antara Malaysia dan Mesir. Panglima Tentera Udara turut menjemput Commander Egyptian Air Force bagi menghadiri LIMA'25.
Sepanjang menghadiri pameran antarabangsa ini, Panglima Tentera Udara turut mengadakan pertemuan dengan Major General Staff Pilot Ibrahim Naser Al Alawi, Commander UAE Air Force & Air Defence. Dalam pertemuan ini, Panglima Tentera Udara turut menjemput Commander UAE Air Force & Air Defence ke LIMA'25. Selain itu, Panglima Tentera Udara juga telah mengadakan lawatan ke beberapa booth pameran antaranya KAI Aerospace Industries, Ltd. dan ST Engineering Ltd dari Singapura.
Kehadiran Panglima Tentera Udara ke Egypt Air Show 2024 adalah satu langkah penting bagi TUDM dalam memperkukuhkan peranan dan keupayaan pertahanan udara negara. Acara ini bukan sahaja menyediakan peluang untuk mempelajari teknologi terkini tetapi juga membuka ruang kepada kerjasama strategik dengan negara-negara dan syarikat-syarikat antarabangsa.