GONG KEDAK, 18 Okt 23 - PU Gong Kedak (PUGK) dengan kerjasama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) telah menganjurkan taklimat Program Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) bertempat di Dewan Serbaguna, PU GK.
Program ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan bahawa pengalaman anggota semasa dalam perkhidmatan boleh dipersijilkan mengikut bidang kemahiran tertentu dalam Diploma Kemahiran Malaysia (DKM).
Pelaksanaan program ini merupakan hasrat YBhg Komander Pangkalan untuk anggota naungan PUGK meningkatkan tahap akademik masing-masing sejajar dengan objektif strategik tonggak Warga Udara CAP55 - Fasa 1 iaitu mempertingkatkan pencapaian akademik Pegawai dan LLP TUDM.
Taklimat RPEL ini telah dihadiri seramai 60 peserta yang telah disampaikan oleh En. Muhammad Fauzi bin Misiran@Misran dan En. Norozman bin Mohd Nordin, Penolong Pegawai RPEL dari PERHEBAT. Turut hadir Mej Sharulanuar bin Baharom (B), Pengarah PERHEBAT Negeri Kelantan dan Terengganu serta Mej Mohamad Suhaimi bin Mohamad Yusoff, Pegawai Pendidikan Pangkalan.
Diharapkan agar taklimat ini dapat memberi pendedahan kepada semua peserta terlibat untuk mengikuti program RPEL seterusnya dapat meningkatkan tahap akademik masing-masing demi menjamin masa hadapan selepas bersara sebagai kerjaya kedua.