BANTING, 20 Feb 24 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berbesar hati menerima kunjungan delegasi Tim Naziran Jabatan Perkhidmatan Awam- Bahagian Gaji dan Elaun yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Kanan, Dr. Nor Azlin binti Mohammad Shamsudin yang melaksanakan sesi naziran bagi Bayaran Insentif Pasukan Khas (BIPK) di Pangkalan Udara (PU) Jugra, Banting hari ini.
Sesi naziran ini diadakan bertujuan untuk mengkaji dan mempertimbangkan permohonan penambahbaikan BIPK yang diperolehi oleh pegawai dan anggota pasukan khas melibatkan ATM, PDRM dan APMM. Sesi naziran ini telah bermula dengan penyampaian taklimat dan pembentangan daripada Pemangku Panglima Rejimen, Kol Muhammad Mustafa bin Omar TUDM berkaitan perincian tugas pasukan khas, penglibatan operasi dan isu-isu semasa berkaitan BIPK.
Seterusnya, tim naziran telah dibawa menyaksikan demonstrasi oleh Pasukan Khas TUDM (PASKAU) dan pameran statik aset-aset yang dimiliki oleh pasukan ini. Turut dipersembahkan kepada mereka “Special Air Insertion Demonstration” yang mana merupakan salah satu elemen penting yang dilaksanakan oleh pasukan khas dalam operasi atau menyelamat. Tim naziran juga turut berpeluang mengikuti latihan menembak yang telah dilaksanakan di Lapang Sasar Batu Hampar sebelum sesi naziran selesai.
Turut terlibat dalam sesi naziran ini adalah Ketua Staf MPOU, Mej Jen Norli Hisham bin Alwi TUDM; Pengarah Tenaga Kerja (CTK), Brig Jen Abdullah Thani bin Abd Rahim; Panglima PASKAL, Laksma Dato’ Hj Mohd Redzuan bin Hj Talib; serta pegawai-pegawai dari BPSM MinDef, Mk ATM-BPA, Mk TD-CSM, MTL-BSM dan MTU-BSM.