SESI DIALOG PEGAWAI MEMERINTAH NO 12 SKUADRON BERSAMA ANGGOTA SERTA MAJLIS HAPPY HOUR DAN JASAMU DIKENANG

1 2 3
4 5 6

 

GONG KEDAK, 27 Jul 23 – Pegawai Memerintah No. 12 Skuadron, Lt Kol Mohd Noraihan bin Abdul Karim TUDM telah mengadakan Sesi Dialog Pegawai Memerintah Bersama Anggota bagi penggal kedua tahun 2023 bertempat di Auditorium Sekolah Sistem No. 12 Skuadron.

Sesi dialog pada kali ini dibahagikan kepada dua sesi. Sesi pertama bersama Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) manakala sesi kedua bersama Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR). Sesi dialog yang berlangsung selama 2 jam ini bertujuan untuk merapatkan jurang antara Pegawai Memerintah dan anggota No. 12 Skuadron disamping mengenal pasti sebarang permasalahan berkaitan isu kebajikan, keselamatan dan kesihatan dalam kalangan anggota.

Di akhir sesi dialog ini, beliau memberi kata-kata semangat kepada semua anggota untuk sentiasa berada pada tahap moral yang terbaik dan bersama-sama menjadikan No. 12 Skuadron sebagai sebuah institusi yang dipandang tinggi dari segenap aspek. Beliau juga mendorong kepada semua anggota agar sentiasa positif dan komited di dalam melaksanakan setiap tugasan yang diberi.

Di samping itu, Majlis Happy Hour dan Jasamu Dikenang juga turut diadakan bagi menghargai pegawai dan anggota yang akan bertukar keluar dari No. 12 Skuadron. Turut dilaksanakan semasa majlis ini ialah penyampaian hadiah kepada pegawai dan anggota yang baru menerima kelahiran anak. Majlis ini bertujuan untuk menghargai seluruh jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh mereka sepanjang berkhidmat di No. 12 Skuadron. Seluruh warga No. 12 Skuadron merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota yang akan bertukar keluar.