BUTTERWORTH, 14 Dis 22 - Komander Pangkalan, Brig Jen Norli Hisham bin Alwi TUDM telah merasmikan RMAF 10KM Challenge, Karnival Sukan 2 dan Majlis Penutup Pertandingan Sukan Antara Seksyen PU Butterworth tahun 2022 yang dilaksanakan di Komplek Materiel PU Butterworth. Karnival Sukan 2 ini melibatkan acara Dualthlon, Tarik Tali dan Eco Challenge yang telah dilaksanakan dahulu pada 13 Dis 22 hari sebelumnya dan larian antara Intersyeksen 10KM pada 14 Dis 22.
Sebelum acara larian dimulakan, peserta telah diberikan taklimat mengenai syarat-syarat pertandingan, taklimat keselamatan dan laluan trek larian. Peserta kemudiannya diberi latihan pemanas badan sebelum memulakan larian. Seterusnya, Komander Pangkalan, Brig Jen Norli Hisham bin Alwi TUDM telah menyempurnakan pelepasan untuk peserta larian serta turut sama menyertai larian ini. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Komander Pangkalan dan No 15 Skn telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan antara seksyen PU Butterworth bagi tahun 2022 dengan kutipan mata sebanyak 850 mata. Dalam ucapan penutup, Komander Pangkalan menyatakan, objektif utama bagi penganjuran acara sukan ini adalah untuk memupuk budaya gaya hidup sihat dalam kalangan warga TUDM. Selain itu, perlaksanaan pertandingan sebegini juga telah dapat mewujudkan budaya persaingan secara sihat serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim diantara warga PU Butterworth.
Mengakhiri ucapan, Komander Pangkalan mengingatkan kepada semua warga pangkalan untuk memastikan taraf kesihatan sentiasa baik dan kepentingan work life balance dalam kehidupan harian. Beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada semua pemenang RMAF 10 KM Challenge dan pemenang Acara Sukan Antara Seksyen PU Butterworth bagi tahun 2022. Seterusnya, Komander Pangkalan dengan rasminya menutup karnival sukan PU Butterworth bagi tahun 2022.