KUANTAN, 20 Jun 22 – Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Politeknik Muadzam Shah (PMS) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pangkalan Udara Kuantan bersempena Program Avation Coaching By Air Force (ACAF). KLKM merupakan gabungan kumpulan-kumpulan pengakap Kelana yang ditubuhkan di institut pengajian tinggi di Malaysia.
Lawatan ini bertujuan bagi memberi penerangan kepada kumpulan lawatan tentang pengoperasian skuadron secara amnya.Terdahulu, peserta lawatan telah diberi taklimat dari No 10 Skn, No 12 Skn dan Cawangan Operasi. Kemudian, peserta telah dibawa melawat ke Engine Bay, Cawangan Kejuruteraan, pameran statik pesawat helikopter EC 725 AP dan Sukhoi SU-30 MKM dan demonstrasi Marshalling.
Diakhir program diadakan Perasmian Penutup oleh En Azlan bin Ibrahim, Fasilitator Khas Pusat Kokurikulum, Universiti Putra Malaysia dan penyerahan sijil penyertaan kepada semua peserta yang terlibat.
Lawatan ini turut disertai oleh Pegawai Perkhidmatan Anggota, Kapt Nik Nooraida binti Nik Sulaiman TUDM mewakili Komander Pangkalan, Fasilitator KLKM Universiti Putra Malaysia, En Ir Akhtar Nur Fitri bin Mat Zain; Pesuruhjaya Daerah KLKM PMS, En Mohd Firdauz bin Norhadi dan Penolong Pesuruhjaya Daerah KLKM PMS, En Yassir Asyraff bin Mohd Kassim.