![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUANTAN, 25 Jun 25 - Sel Integriti INSPRA telah mengkoordinasikan Program Kesedaran Keselamatan Media Sosial Warga TUDM bertujuan menyuntik kesedaran individu bagi mengelakkan kes pencemaran dan pelanggaran keselamatan maklumat melalui platform media sosial yang sering berlaku dalam kalangan warga TUDM termasuklah keluarga serta kakitangan yang bertugas di dalam Pangkalan dan Unit TUDM. Program ini juga dianjurkan untuk memupuk semangat dan nilai integriti dalam kalangan warga INSPRA terhadap kepentingan keselamatan media sosial.
Satu sesi ceramah telah disampaikan oleh Kapt Muhammad Syafiq bin Mohamad Yusop TUDM, Peg Staf 3 Media Maya daripada Markas Tentera Udara – Bahagian Perisikan TUDM. Seramai lebih kurang 130 hadirin yang terdiri daripada Komandan INSPRA, Kol Mohammed Firdauz bin Hj Osman TUDM; Ketua Jurulatih Latihan, Lt Kol Sharidan bin Nemad TUDM; staf jurulatih dan peserta kursus telah memenuhi Auditorium bagi mengikuti ceramah berkenaan.
Dalam sesi ceramah yang berlangsung, penceramah jemputan turut memberikan pendedahan tentang beberapa kes pencemaran dan pelanggaran keselamatan maklumat melalui platform media sosial yang pernah berlaku melibatkan anggota TUDM sebelum ini agar dapat dijadikan iktibar kepada sidang hadirin.
Pihak INSPRA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini khususnya kepada Markas Tentera Udara – Bahagian Perisikan TUDM. Diharapkan ceramah yang dianjurkan ini berjaya mencapai matlamat penganjurannya dan memberikan manfaat serta menjadi panduan berguna agar warga INSPRA sentiasa berhati-hati dalam sebarang bentuk pengkongsian melalui media sosial dalam kehidupan seharian mereka.