KUANTAN, 21 Jul 23 - Institut Latihan Pengurusan Ruang Angkasa (INSPRA) telah melaksanakan Program Kesedaran Integriti bertempat di Dewan Seri Angkasa (DSA) Pangkalan Udara Kuantan yang telah disempurnakan oleh Komandan INSPRA, Kol Mohd Shahfreen bin Baba TUDM dan diiringi oleh Ketua Jurulatih Latihan, Lt Kol Sharidan bin Nemad TUDM. Majlis juga turut dihadiri oleh, Ketua-ketua Sekolah dan Bahagian, peserta kursus serta barisan Jurulatih INSPRA dengan kekuatan seramai 231 orang.
Dengan bertemakan “Budaya Integriti, Cerminan Jati Diri” Sel Integriti dan Antidadah INSPRA telah menjemput dua penceramah dari agensi luar iaitu wakil daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kuantan, Encik Mohamad Faiz bin Mokhtar yang menyampaikan ceramah mengenai Penyalahgunaan Dadah dan Bahan Terlarang. Manakala wakil daripada Polis Diraja Malaysia Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Pahang iaitu Asisten Superintendan Polis (ASP) Mohd Izzat Iqbal bin Mohd Zaki dan dibantu oleh lima orang anggota dari D7 Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang menyampaikan ceramah bertajuk Gejala Buli dan Jenayah Tubuh Badan.
Selain itu, kedua-dua penceramah turut berkongsi pengalaman-pengalaman yang signifikan sepanjang bertugas di jabatan masing-masing bagi menekankan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat dan akta-akta yang berkaitan dengan kesalahan dadah dan buli. YBhg Komandan turut menyempurnakan sesi penyampaian cenderahati kepada dua penceramah jemputan yang hadir pada kali ini sebagai tanda terima kasih.
Melalui ucapan penutup, YBhg Komandan telah merakamkan ucapan tahniah kepada semua kerana telah berjaya melaksanakan Program Kesedaran Integriti pada kali ini dan menasihati seluruh warga INSPRA untuk mengelak daripada terjebak dengan salah laku dadah dan buli daripada menjadi barah di dalam perkhidmatan TUDM. Budaya Integriti, Cerminan Jati Diri.