LABUAN, 22 Nov 23 – BAKAT Pangkalan Udara Labuan telah berjaya melaksanakan Program Kesedaran dan Kesejahteraan Keluarga BAKAT Udara. Program ini diadakan berlanjutan daripada pemilihan PU Labuan oleh Jemaah BAKAT Udara (JBU) sebagai penganjur bagi Program Kesedaran dan Kesejahteraan Keluarga BAKAT Udara bagi Zon Sabah dan W.P. Labuan. Program yang telah dilaksanakan di Dewan Bankuet, PU Labuan ini merupakan satu inisiatif YBhg Pengerusi Jemaah BAKAT Udara, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan, bagi memberi pengetahuan dan juga persediaan kepada Ahli BAKAT sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini kepada pasangan sama ada kepada suami mahupun isteri.
Program satu hari ini telah dirasmikan oleh Komander Pangkalan Udara Labuan, Brig Jen Hj Muhammad Taha bin Hamdan TUDM sebagai tanda sokongan dan galakkan bagi penganjuran program sebegini kepada ahli BAKAT. Komander mewakili PU Labuan berharap agar pengisian yang disampaikan sejajar dengan objektif yang digariskan oleh pihak JBU. Turut hadir, Pengerusi BAKAT PU Labuan, Puan Hjh Melati Hj Omar, Pemangku Pegawai Eksekutif Pangkalan, Lt Kol Haslen bin Haron TUDM dan barisan eksekutif Pangkalan. Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari Ahli BAKAT Zon Sabah dan WP Labuan yang terdiri daripada Ahli BAKAT dari PU Labuan, Markas Wilayah Udara 2 dan PUKALUB KK.
Pengisian program ini merangkumi pelbagai slot modul yang telah disampaikan oleh 4 penceramah jemputan. Antara topik yang di angkat sepanjang program adalah berkenaan Hibah Wasiat dan Faraid yang disampaikan oleh Kapt (Ust) Mohd Khalid dari MATM KAGAT, Insuran Koperasi Tentera yang disampaikan oleh Puan Dg Nooramas dari Koperasi Tentera HQ Kota Kinabalu, Faedah dan Ganjaran Pencen kepada Anggota Tentera dan Balu yang disampaikan oleh Kapt Fatin dari Jabatanarah Rekod dan Pencen dan Bantuan Pengurusan Balu sekiranya Pengawai/Anggota Meninggal Dunia yang disampaikan oleh Lt Kol Mohamad Rozali TUDM dari MTU Perkhidmatan.
Program Kesedaran dan Kesejahteraan Keluarga BAKAT Udara ini telah membuka pandangan dan memberi kesedaran kepada Ahli BAKAT yang hadir serta menarik minat para peserta untuk mengutarakan pelbagai soalan bagi memperjelaskan hak dan kelayakan mereka sebagai isteri dan keluarga berkenaan hal-hal yang berkaitan. Diharapkan menerusi inisiatif program yang dianjurkan ini, mendapat manfaat kepada Ahli BAKAT agar kesejahteraan keluarga Warga Udara lebih terjamin.